CTRM hab kalibrasi rantau Asia Pasifik

Masa Membaca:2 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) melakar sejarah dalam industri aeroangkasa apabila fasiliti ujiannya diiktiraf sebagai hab kalibrasi rantau Asia Pasifik (APAC) bagi produk ujian Testia iaitu anak syarikat di bawah Kumpulan Airbus.

Pengiktirafan itu diberikan selepas termeterainya Perjanjian Perkhidmatan Induk antara CTRM dan Testia, anak syarikat CTRM iaitu CTRM Testing Laboratory Sdn. Bhd. (CTRM TL) pada 27 September lalu di Minggu Penerbangan MRO Asia Pasifik Singapura 2023.

Menerusi perjanjian itu CTRM dipilih sebagai hab kalibrasi pertama untuk produk ujian Testia di rantau Asia-Pasifik dan merupakan yang pertama di luar pangkalan Airbus di Toulouse, Perancis.

Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, menerusi perjanjian ini, CTRM TL akan menawarkan perkhidmatan makmal untuk kalibrasi produk Testia pertama di rantau Asia Pasifik.

“Ia juga akan menjadi platform komprehensif untuk Akademi Kadet Testia menjalankan aktiviti latihan dan penempatan. CTRM TL juga dilantik menjadi pusat latihan rasmi bagi Ujian Tanpa Musnah selain mengintai peluang untuk menjadi pengedar produk Testia di rantau ini.

“Pelantikan ini sememangnya satu pencapaian membanggakan yang mana keupayaannya CTRM telah diiktiraf oleh Testia dan kumpulan Airbus secara keseluruhan.

“Terima kasih atas kepercayaan dan pengiktirafan diberikan kepada CTRM sebagai rakan kongsi dalam bidang baharu ini, usaha ini melonjakkan CTRM ke peringkat seterusnya dalam menyediakan perkhidmatan kalibrasi dan latihan Ujian Tanpa Musnah (NDT).

“Kita bukan sahaja dapat memberikan perkhidmatan kepada pelanggan tempatan, malah pelanggan antarabangsa di rantau APAC,” katanya kepada Melaka Hari Ini di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Teknikal Testia Asia Pacific, William Ho; Pengarah Urusan Testia Asia Pacific, Dr. Chan Siang Chak; Pengarah Pembangunan dan Perkongsian Antarabangsa Testia, Nicolas Fournier.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Testia, David Rottembourg; Ketua Perkhidmatan Pelanggan Airbus Asia Pasifik, Raymond Lim; Ketua Perancangan Strategik CTRM, Darwis Idrus dan Ketua Syarikat CTRM TL, Ts. Mohd Taufik Nordin.

Menurut Shamsuddin, kerjasama itu memberi impak positif terhadap strategi syarikat ke arah memperkembangkan perniagaan dan penglibatan CTRM dalam industri tersebut.

“Kami akan terus memberi komitmen terhadap kecemerlangan industri melalui pembangunan pakar tempatan, pada masa sama menyokong inisiatif Airbus Testia untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi mengukuhkan permintaan global modal insan industri aeroangkasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) Malaysia Prof Ts. Shamsul Kamar Abu Samah berkata, kerjasama ini bertepatan dengan Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030 yang menyasarkan Malaysia untuk menerajui industri aeroangkasa Asia Tenggara menjelang 2030.

“Selain itu, kerjasama ini selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk mengukuhan keupayaan Malaysia sebagai hub ujian dan latihan ke arah menyumbang kepada rantaian bekalan aeroangkasa domestik.

“Kami melihat kerjasama ini sebagai asas memacu industri aeroangkasa Malaysia ke peringkat global yang menggariskan komitmen untuk memajukan keupayaan sektor ini dan mencapai objektif 2030,” kata Shamsul.

Menerusi perjanjian itu juga, antara perkhidmatan lain yang disediakan adalah latihan Ujian Tanpa Musnah, program Akademi Kadet untuk membangunkan NDT, pembangunan tenaga kerja yang diperakui melalui latihan dan penempatan serta pengedaran produk Testia di rantau Asia-Pasifik.

Pelanggan Testia di rantau Asia-Pasifik akan mendapat manfaat daripada perkembangan ini melalui masa yang lebih pantas dan kos pengangkutan yang lebih rendah kerana peralatan ujian akan diservis oleh pasukan CTRM di Melaka berbanding makmal kalibrasi Testia di Eropah.

Untuk rekod Testia mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam pemeriksaan aerostruktur dan NDT. Manakala, CTRM TL merupakan makmal ujian yang diiktiraf Airbus dengan akreditasi ISO17025 dan kelayakan NADCAP AC7122.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1451
Kongsi :
Previous post Bergelut cari kerja, harap rezeki di karnival kerjaya
Next post Kerajaan teruskan latihan PLKN, akan jalani latihan di kem tentera
Ubah saiz-+=