DAP tempelak Norhizam bermimpi terimanya sebagai rakan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 7 Okt. – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee ditempelak rakan sekutunya, DAP susulan kenyataannya dikeluarkan malam tadi.

Ia susulan kenyataan bekas EXCO negeri itu mengenai hasrat empat ADUN pro pembangkang terbabit bersama-sama 11 ADUN pembangkang lain untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini.

Lima jam selepas kenyataan itu dikeluarkan malam tadi, bekas wakil rakyat DAP dari DUN Kota Laksamana, Low Chee Leong menempelak pengumuman dibuat Norhizam itu melalui Facebook rasminya tengah malam tadi.

“Merujuk kepada pengumuman Norhizam malam ini (tadi), (bekas) ADUN PH dan (bekas) empat orang ADUN yang mengisytihar tidak lagi sokong kerajaan PN akan mengadap YDP Agong, Pengerusi PH Melaka Adly (Zahari) telah menafikan perkara ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa Norhizam harus berhenti mencemarkan nama baik PH, kerana bukan semua ADUN PH menerimanya sebulat suara, jangan juga bermimpi DAP akan terima dia sebagai rakan.

“Tidur awal, jangan mimpi,” katanya.

Terdahulu, lewat malam tadi, Norhizam yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka dalam satu kenyataannya memaklumkan semua 15 bekas ADUN blok pembangkang itu akan menaiki bas ke Istana Negara hari ini.

“Datuk Seri Utama Idris Haron telah mencadangkan kesemua kami 15 (bekas) ADUN untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan krisis ini (politik) pada keesokan hari (hari ini) dengan menaiki bas ke Istana Negara.

“Cadangan ini telah dipersetujui semua pihak dan esok kami akan bertolak ke Istana Negara,” katanya.

Beliau berkata, perjumpaan itu perlu dilakukan kerana mendakwa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dilakukan secara tergesa-gesa tanpa mengadakan perbincangan.

Menurutnya, ia sama sekali berbeza dengan apa yang diamalkan dalam pentadbiran pusat oleh Yang di-Pertuan Agong yang akan mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak sebelum membuat keputusan.

Untuk rekod, Norhizam menang Pilihan Raya Umum (PRU) lalu atas tiket PH mengumumkan menjadi calon bebas dan menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) sebelum keluar dan menyertai semula blok pembangkang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: Perlu rujuk pakar terlebih dahulu-Hishammuddin
Next post Hatrik Ali Olwan bantu Jordan ‘ratah’ Harimau Malaya
Ubah saiz-+=