‘Dari Hati Membawa Ke Syurga’ tema Bulan Pelancongan Islam

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 10 Mac- Pelbagai program akan dilaksanakan bagi mengimarahkan Bulan Pelancongan Islam sepanjang Ramadan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata program terbabit akan diadakan sepanjang bulan Mac dan April bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya, program itu akan dipenuhi dengan aktiviti berkonsepkan keagamaan menerusi tema ‘Dari Hati Membawa Ke Syurga’.

“Antara aktiviti itu termasuklah Seminar Rukyah dan Hisab, Malam Semarak Haruman Ramadan dan Jom Rewang Bubur Lambuk bertempat di Pavilion TMM2024 di Dataran Pahlawan serta beberapa lokasi terpilih.

“Sempena Ramadan ini juga, Kerajaan Negeri turut menganjurkan program Ihya Ramadan yang bertujuan menyuburkan ’roh Ramadan’ serta meningkatkan penghayatan dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di negeri ini.

“Sepanjang mengimarahkan Ramadan tahun ini, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Zakat Melaka, Jabatan Mufti serta Mahkamah Syariah Melaka merangka pelbagai program antaranya Program Imam Hafiz Tarawih Ramadan (IHTIRAM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya melancarkan Program Ihya Ramadan 1445H peringkat negeri bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia MADANI’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Mufti Melaka, Datuk Wira Abd Halim Tawil serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata program IHTIRAM itu membabitkan penyertaan imam bergelar Al-Hafiz yang akan mengetuai solat sunat Tarawih di 100 masjid dan surau terpilih.

“Selain Taqarrub Ramadan, penganjuran Majlis Iftar Jamaie yang diadakan di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah di sini pada setiap hujung minggu serta Program Iftar Mega pada 16 Mac ini.

“Pelaksanaan program ini adalah bertujuan sebagai galakan kepada umat Islam untuk merebut peluang dalam meningkatkan amal ibadah sepanjang Ramadan secara istiqamah,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua umat Islam negeri ini untuk sama-sama menyokong dan mengimarahkan bulan mulia Ramadan dengan segala program dan aktiviti yang dirancang oleh Kerajaan Negeri itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

571
Kongsi :
Previous post 1.44 juta murid, pelajar mulakan sesi persekolahan di empat negeri hari ini
Next post Melaka sasar kutip zakat fitrah bernilai RM5.9 juta
Ubah saiz-+=