DARI LADANG KE MUZIUM, BAPA KONGSI ILMU PERTANIAN

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BEMBAN 1 September – Pengalaman bekerja sebagai kerani ladang dimanfaatkan G Barathitasan, 42, berkongsi pengetahuan mengenai peralatan pertanian lama kepada anak-anaknya ketika berkunjung ke Muzium Pertanian, Jasin, semalam.

Bapa kepada empat anak dari Air Baruk itu berkata, terdapat beberapa peralatan dipamerkan pernah dilihatnya ketika bekerja di ladang, sekali gus membolehkannya menerangkan fungsi dan kegunaan barangan tersebut kepada anak-anak.

“Peralatan yang ada di sini memang peralatan lama dan mungkin anak-anak saya tidak pernah melihatnya sebelum ini.

“Saya pernah bekerja sebagai kerani ladang, jadi saya ada sedikit pengalaman mengenai peralatan ini dan boleh terangkan kepada anak-anak tentang kegunaannya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Menurutnya, kesempatan membawa keluarga ke muzium berkenaan turut didorong kemasukan percuma sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026, selain lokasinya yang berhampiran dengan kediaman mereka.

Katanya, sebelum ke Muzium Pertanian, mereka sekeluarga terlebih dahulu mengunjungi Muzium Penjara di Banda Hilir dan memilih muzium itu sebagai lokasi seterusnya kerana masih mempunyai masa.

“Inisiatif kemasukan percuma ini memang bagus kerana dapat memberi peluang kepada keluarga membawa anak-anak meneroka muzium dan mendapat pengalaman serta ilmu baharu.

“Kalau program seperti ini diteruskan pada hari-hari tertentu, lebih ramai orang Melaka boleh mengambil peluang mengunjungi tempat-tempat bersejarah dan menarik di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

101
Kongsi :
Previous post 51,871 RAKYAT NIKMATI 14 PRODUK PELANCONGAN PERCUMA MELAKA SEMPENA 31 OGOS