Dari rumah sewa sempit, tujuh beranak dapat rumah baharu lebih selesa

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KUALA LINGGI 17 Jun – Kegembiraan dan kesyukuran jelas terpancar pada wajah sepasang suami isteri apabila menerima kunci Rumah Prihatin di kediaman baharu di Kampung Benteng Permatang, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Menerima kunci Rumah Prihatin secara percuma sumbangan kerajaan negeri amat melegakan mereka dan lima anak yang sebelum ini terpaksa menghuni rumah sewa yang sempit satu bilik.

Ab Jani Salim 40, dan isteri Ridahani Hazali, 38, serta lima anak mereka berusia lima hingga 12 tahun tersenyum ceria melangkah masuk ke dalam rumah yang dibina dengan peruntukan RM52,000 dan siap hanya dalam tempoh tiga bulan.

Ab Jani yang bergantung rezeki pada kerja kampung seperti mengambil upah memotong rumput dan menukang rumah, amat bersyukur diberikan penginapan yang lebih luas dan selesa berbanding rumah sewa sebelum ini.

“Alhamdulillah, kami ucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri yang sudi membantu kami mendapatkan kediaman sendiri berbanding terpaksa membayar sewa rumah RM260 sebulan sebelum ini.

“Disebabkan rumah sewa yang sempit, dua anak kami terpaksa menghuni rumah ibu saya di tempat lain dan sekarang kami amat bersyukur kerana kami sekeluarga dapat menghuni rumah lebih selesa yang mempunyai tiga bilik

“Insya-Allah kami akan menjaga rumah ini dengan baik kerana tidak mungkin saya mampu membina atau membeli rumah dengan pendapatan yang tidak seberapa,” katanya selepas menerima kunci rumah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah di Kampung Benteng, Permatang, Kuala Sungai Baru di sini.

Hadir sama, Jurutera Daerah Alor Gajah Ir Mohd Haidir Haron dan Penghulu Kuala Linggi, Aszahari Razali.

AB Jani dan Ridahani ceria dan bersyukur menerima Rumah Prihatin sumbangan Kerajaan Melaka di Kampung Benteng Permatang, Kuala Sungai Baru.

Rumah berkenaan dibina kontraktor hanya dalam tempoh tiga bulan selepas permohonan Ab Jani diluluskan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah dengan penyeliaan dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah.

Sementara itu, Rosli berkata, rumah baharu itu dilengkapi bekalan tenaga elektrik dan air bersih serta ruang tamu dan dapur yang agak luas bagi membolehkan penghuninya menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“April lalu saya menyerahkan kunci rumah yang sama kepada empat pemilik dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi dan hari ini, Ab Jani dan keluarganya pula menerima kunci,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1242
Kongsi :
Previous post Bas rempuh lori treler, seorang penumpang wanita maut
Next post Kes Siti Bainun: Bella hadir di mahkamah untuk sesi pengecaman
Ubah saiz-+=