
DARIPADA RAKYAT UNTUK RAKYAT, PARAKOM CERMINAN MeSRa
BANDA HILIR 28 Mac – Inisiatif Paramedik Komuniti (PARAKOM) diperkenalkan Kerajaan Negeri bukan sahaja memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan, malah menjadi cerminan jelas gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
Malah inisiatif berfaedah itu disambut rakyat pelbagai latar belakang yang kini aktif menabur budi di desa dan bandar sebagai sukarelawan PARAKOM.

KHAIRIAH KHALID.
Bagi Khairiah Khalid, 50, bekerja sebagai pembantu taska di Melimau, penglibatan aktif sebagai sukarelawan PARAKOM membolehkan dirinya berjasa kepada masyarakat menggunakan ilmu pertolongan cemas dimiliki.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, minat mendalam untuk membantu orang lain menjadi pendorong utama beliau menyertai PARAKOM sejak inisiatif itu diperkenalkan.
“Bagi saya, menyertai PARAKOM adalah satu pengalaman bermakna kerana banyak ilmu yang diperoleh, bukan sahaja untuk membantu orang, malah kini saya juga antara pemandu buggy ambulans PARAKOM di Banda Hilir,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Sementara itu, ibu tunggal, Malinda Atan, 49, dari Kampung Sarang Helang, Pengkalan Batu berkata, setiap sukarelawan PARAKOM bukan sekadar tahu ilmu pertolongan cemas, sebaliknya perlu menguasai cara berkomunikasi dengan orang ramai.
“Boleh kata PARAKOM membantu saya meningkatkan kemahiran dalam hidup, meskipun sibuk sebagai ibu kepada empat anak, saya tetap komited kerana ini peluang untuk membantu orang ramai.
“Penglibatan saya bermula melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sarang Helang. Ilmu dipelajari bukan sahaja digunakan di lokasi pelancongan, malah boleh dipraktikkan di kampung sendiri,” katanya yang bertugas dalam unit berbasikal PARAKOM.

HASLINDAH HASSAN.
Nada sama turut disuarakan Haslindah Hasan, 39, suri rumah dari Tedong, Merlimau yang menyifatkan penyertaan dalam PARAKOM memberi keyakinan untuk bertindak dalam situasi kecemasan.
“Suami memberi keizinan untuk saya terlibat walaupun suri rumah sepenuh masa serta sibuk menguruskan tiga anak namun itu bukan penghalang. Alhamdulillah kini sudah masuk tahun kedua berkhidmat dalam unit rondaan PARAKOM.
“Sekurang-kurangnya dengan menyertai PARAKOM, kita tahu apa perlu dilakukan jika berlaku kecemasan di sekeliling,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


