Sorting by

×

DATANG AMBIL BANTUAN SEKOLAH, BAPA 4 ANAK SEBAK DIUMUM MENANG KERETA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

LENDU 21 Disember – Seorang bapa tidak menyangka Kedatangannya ke Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita untuk mengambil bantuan persekolahan anak-anak memberi rezeki yang tidak disangka-sangka.

Ia selepas bapa kepada empat anak itu diumum sebagai pemenang cabutan bertuah utama karnival itu, sekali gus membawa pulang hadiah sebuah kereta Perodua Axia.

Suasana hiba dapat dilihat apabila Muhammad Arif Karim, 39, segera memeluk isteri dan anak-anaknya selepas menerima hadiah utama itu yang disampaikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Malah, turut kelihatan sebak adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang turut memeluk Muhammad Arif dan anak-anaknya.

Menurut anak jati Kampung Rantau Panjang, Taboh Naning itu, ketika namanya disebut dia dan keluarganya sedang dalam perjalanan untuk pulang ke rumah selepas mengambil bantuan persekolahan.

“Sebelum balik, anak-anak menyuarakan hasrat untuk bermain permainan di karnival ini dan ketika itulah saya mendengar nama disebut dan segera berlari ke pentas utama.

“Benarlah rezeki tidak salah alamat dan mungkin ini rezeki yang dirahmati Allah SWT untuk kami sekeluarga.

“Saya memang sudah berhasrat untuk menghadiahkan kereta ini kepada isteri saya bagi memudahkan urusannya untuk menghantar dan mengambil anak di sekolah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Muhammad Arif turut memuji inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menganjurkan karnival berkenaan yang disifatkan bukan sahaja mengeratkan warga Masjid Tanah, bahkan membawa pelbagai limpahan manfaat kepada rakyat berbilang kaum.

Malah, beliau berkata, di bawah kepimpinan Ab Rauf, Masjid Tanah khususnya dan Negeri Melaka amnya telah banyak berubah menerusi lonjakan ekonomi dan pembangunan yang dilakukan.

“Sebagai anak jati Masjid Tanah, saya amat berbangga dengan Ketua Menteri yang mempunyai visi cukup besar dalam memajukan negeri dan kampung kelahirannya,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

743
Kongsi :
Previous post BUSANA ARAB ILHAM NENEK BAWA TUAH