
DEEPAVALI DISAMBUT MERIAH DI MELAKA
KUALA LINGGI 21 Oktober – Dari pagi hingga ke malam, rumah terbuka bersempena sambutan Deepavali yang dianjurkan tidak putus menerima tetamu dalam kalangan rakan dan kenalan daripada pelbagai kaum.
Itulah gambaran semangat perpaduan kaum dan kemeriahan suasana rumah terbuka Deepavali dianjurkan oleh A Arumugam, 81, di kediamannya di Lubok Redan, di sini, semalam.
Bapa kepada tujuh anak dan datuk 16 cucu ini berkata, penganjuran rumah terbuka bersempena sambutan Deepavali itu sudah menjadi amalannya sejak lebih 20 tahun lalu bagi bersama-sama meraikan semangat Pesta Cahaya.
“Seluruh ahli keluarga termasuk anak, menantu dan cucu akan pulang berkumpul di rumah bagi menyambut Deepavali, sebelah pagi kami akan ke kuil untuk upacara sembahyang. Kemudian selepas pulang semula ke rumah seluruh keluarga akan memasak makanan untuk dihidangkan kepada tetamu.
“Kebiasannya menantu saya sediakan menu sepeti kari kambing, kari ayam dan mi goreng mamak, tidak ketinggalan tosai serta muruku yang menjadi pilihan ramai tetamu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Arumugam yang juga seorang Jaksa Pendamai (JP) berkata, besar harapannya agar tradisi sekian lama menyuburkan perpaduan dalam kalangan penduduk tempatan diteruskan oleh ahli keluarganya yang lain.
“Sebelum ini beberapa rakan berketurunan India turut mengamalkan tradisi ini tetapi ramai yang sudah meninggal dunia, ketika itu memang meriah kami berkunjung dari rumah ke rumah suasananya seperti menyambut hari raya, jadi saya amat berharap anak-anak meneruskan tradisi yang amat bermanfaat ini pada masa akan datang.
“Kita kongsi raya, sama-sama meraikan perayaan kaum lain kerana amalan ini adalah ramuan mujarab menyatukan seluruh rakyat di Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.