Sorting by

×

‘DEWAN BUKAN MEDAN PERANG, TAPI UNTUK MEMBELA RAKYAT’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 20 Disember – Parlimen dan Dewan Undangan Negeri merupakan medan berwacana untuk menzahirkan pendapat, pandangan serta membela keperluan rakyat dan bukannya pentas perbalahan tidak beretika.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, institusi legislatif tidak seharusnya dijadikan tempat untuk melontarkan kata-kata kesat, menghina atau menyerang sesama pemimpin yang dipilih rakyat.

“Sebaliknya ia perlu mencerminkan kematangan dan kecemerlangan dalam amalan semak dan imbang.

“Dewan ini bukan medan perang, ia adalah tempat untuk membahaskan idea, memperjuangkan keperluan rakyat dan memastikan demokrasi berfungsi dengan lebih berkesan demi kepimpinan masyarakat serta barisan pentadbiran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025 bertemakan ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat: Cerminan Kepimpinan Legislatif’ di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr. Johari Abdul; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad serta barisan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri.

Menurut Ab Rauf, kematangan dalam perbahasan dan sikap saling menghormati amat penting bagi memastikan sistem demokrasi terus diyakini serta mampu berfungsi sebagai wadah penyelesaian kepada isu-isu rakyat.

“Tanggungjawab wakil rakyat tidak terhenti pada ucapan atau pengiktirafan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui perkhidmatan yang dikembalikan semula kepada rakyat.

“Perkhidmatan kepada rakyat inilah yang menjadi asas kepada peranan wakil rakyat. Sebab itu kita dipanggil wakil rakyat, kerana mandat yang diterima mesti dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

348
Kongsi :
Previous post AB RAUF GARISKAN TIGA PERANAN WAKIL RAKYAT
Next post RAIKAN KRISMAS SECARA BIJAK, HORMATI GARIS PANDUAN HALAL – AB RAUF