Dua lelaki jual darjah kebesaran palsu didakwa

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Dua ahli perniagaan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini atas 20 pertuduhan menipu, menggunakan gelaran datuk dan memalsukan dokumen darjah kebesaran negeri Melaka, akhir tahun lalu.

Tertuduh, Tuan Shah Abd Rahman dan Zainal Abu Bakar, masing-masing berusia 48 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, Tuan Shah dan Zainal didakwa bersama-sama menipu dengan memperdayakan dua individu bergelar datuk dalam urusan mendapatkan watikah Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) dengan mempercayainya adalah tulen.

Tertuduh bersama-sama mendorong kedua-dua mangsa membayar RM100,000 dan kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Hang Tuah, dekat sini, pada 2 Oktober tahun lalu dan 2 Februari tahun ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta denda dan sebat.

Dalam prosiding sama, Tuan Shah turut berdepan 10 pertuduhan yang didakwa membuat watikah Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M), watikah Jaksa Pendamai Negeri Melaka (J.P), watikah Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) dan D.G.S.M tanpa kebenaran Ketua Menteri Melaka.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Ladang, Krubong, daerah Melaka Tengah antara 7 September 2020 hingga 5 Februari 2021.

Kesalahan mengikut Seksyen 3(1)(b) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah penggunan yang tidak betul) 2016 Enakmen 1981, sabit kesalahan boleh didenda minimum RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Zainal turut didakwa menggunakan gelaran Dato’ pada resit syarikat tanpa kebenaran Ketua Menteri Melaka bagi tujuan keuntungan peribadi.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis beralamat di Jalam M 12 Taman Merdeka, Batu Berendam di daerah Melaka Tengah antara 3 Februari hingga 27 Februari 2021.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-lambang Dan Nama-nama (mencegah penggunaan tidak betul)(Enakmen A21) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5 enakmen sama.

Tertuduh berdepan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan dalam tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad dan Nor Azizah Yusof mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan berikutan berdepan faktor kewangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas mendengar hujan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 September ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post Jangan bawa usul tidak berkenaan, susun tindakan kekang COVID-19 – Sultan Johor
Next post Mesej suntikan ‘walk-in’ untuk 18 tahun ke atas di PPV UiTM disahkan palsu
Ubah saiz-+=