Dua lelaki menyamar pegawai Imigresen samun, rogol wanita warga Indonesia ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Polis menahan dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai pegawai Imigresen dan menyamun serta merogol seorang wanita warga Indonesia, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kedua-duanya yang berusia 35 dan 40 tahun ditahan di sebuah rumah teres di Taman Seri Asahan, Jasin, Melaka, kira-kira 3 pagi tadi.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu, kedua-dua suspek mengaku sebagai pegawai Imigresen dan ingin melakukan pemeriksaan pasport serta permit dua wanita tersebut berhampiran sebuah hospital di Pandan Indah di Ampang, Selangor, seterusnya meminta mereka menaiki kereta jenis Honda City.

“Selepas itu kedua-dua wanita berkenaan dibawa ke kawasan Serdang dan semasa dalam perjalanan, suspek telah mengambil barang kemas dan wang tunai milik mangsa.

“Seorang daripada mangsa kemudian diturunkan di tepi jalan di kawasan berkenaan manakala seorang lagi dibawa ke sebuah hotel di kawasan Balakong dan dirogol,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya hasil serbuan di rumah di Jasin itu, polis merampas wang tunai, seutas rantai leher, rantai tangan serta kenderaan yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian terbabit.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 40 tahun itu mempunyai 18 rekod jenayah lampau dan dadah termasuk tiga rekod dikehendaki manakala lelaki berusia 35 tahun pula mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan dadah termasuk satu rekod dikehendaki.

Mohamad Farouk berkata kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1411
Kongsi :
Previous post 10 sekolah dipilih jayakan inisiatif ‘Rainwater Harvesting In School’
Next post Perintah berkurung perairan ESSZone dilanjutkan hingga 7 Sept
Ubah saiz-+=