Dua tokoh dahului senarai penerima darjah kebesaran, pingat sempena keputeraan Agong

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

KUALA LUMPUR 13 Nov – Bekas Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum dan bekas Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021.

Dua tokoh itu dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Gelaran itu dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyaksikan 44 penerima menerima anugerah berkenaan hari ini.

Seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan untuk 2021 manakala beberapa individu merupakan penerima bagi 2020.

Richard adalah penerima SSM bagi 2020 manakala Raja Muhammad Alias merupakan penerima darjah kebesaran itu tahun ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Seramai 19 individu menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran ‘Tan Sri’ iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Turut dianugerahi PSM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Ismail Ibrahim; bekas Pengerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; pakar astronomi dan profesional astrofizik Datuk Prof Emeritus Dr Mazlan Othman; Pengarah Eksekutif Leong Hup International Berhad Datuk Lau Eng Guang; Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad Datuk Mohammed Azlan Hashim dan Pengerusi Eksekutif The Edge Media Datuk Tong Kooi Ong.

Penerima PSM lain ialah Pengerusi Ikhlas Capital Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak; Pengerusi Eksekutif LB Aluminium Berhad Datuk Leow Chong Howa; Pengarah Eksekutif Perfect Group Holdings Limited Datuk Tan Jyh Yaong; bekas Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mohd Shariff Omar; bekas Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Seramai 18 individu menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dan dua penerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD), masing-masing membawa gelaran Datuk.-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

791
Kongsi :
Previous post Tubuh koperasi, selesai isu perumahan antara visi Shanmugam di DUN Gadek
Next post BN mahu Melaka jadi pusat pelancongan sepanjang minggu
Ubah saiz-+=