Sorting by

×

‘DULU ASNAF, SEKARANG USAHAWAN KUIH SEJUK BEKU BERJAYA’

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 25 September – “Impian saya cuma satu, keluar daripada kelompok asnaf dan berdiri atas kaki sendiri,” kata Habibah Sukendar, 44, penerima Anugerah Ikon Usahawan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2025.

Anugerah itu disampaikan kepada Habibah pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi (MATIN) MAIM 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 20 September.

Dengan kejayaan itu Habibah membawa pulang wang tunai RM2,500 dan pakej menunaikan umrah sebagai penghargaan atas usaha gigihnya.

Berpindah dari Johor ke Melaka hampir dua dekad lalu, Habibah kini menetap di Taman Kenangan, Tengkera bersama suami dan tiga anak yang berusia antara lapan hingga 17 tahun.

Namun, perjalanan hidupnya bukan mudah, mengimbas kembali detik permulaan, Habibah berkata dia mula berniaga secara kecil-kecilan dari rumah pada tahun 2022 dengan menggunakan peralatan seadanya.

“Ketika itu pengeluaran kuih-muih sejuk beku amat terhad, hanya sekitar 700 hingga 800 biji sahaja sebulan. Segalanya berubah apabila saya terpilih menyertai program bimbingan keusahawanan anjuran MAIM pada November 2024.

“Kami (peserta) perlu mengikuti kursus selama dua minggu. Banyak yang saya belajar, asas perniagaan, cara menguruskan kewangan hingga bagaimana mahu memasarkan produk.

“Selepas kursus itu saya terpilih menerima geran bernilai RM15,000. Dengan bantuan diterima, saya membeli peralatan baharu seperti peti sejuk besar, mesin pengadun dan rak penyimpanan, sekali gus melonjakkan kapasiti pengeluaran kuih sejuk beku kepada 4,000 hingga 5,000 biji sebulan,” katanya.

Kini, jenama Nur’ Izqy Frozen Food miliknya semakin dikenali di Melaka, masih beroperasi dari rumah, Habibah dan suaminya sudah merancang membuka bengkel sendiri bagi mengembangkan perniagaan.

“Kejayaan hari ini adalah hasil kesungguhan dan keyakinan diri, meskipun berdepan pandangan serong orang sekeliling.

“Saya pernah rasa merendah diri, takut dengan kata-kata orang. Tetapi saya yakin, selagi berniaga kerana Allah dan memberi manfaat kepada orang lain, insya-Allah akan dipermudahkan,” katanya.

Bagi Habibah, pengiktirafan itu bukan sekadar hadiah, tetapi menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha.

“Jangan pernah putus asa. Setiap orang ada ujian masing-masing, yang penting kita kuat semangat dan percaya diri sendiri,” katanya.

Terdahulu Habibah menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post TRAGEDI MANDI LAUT: KESELAMATAN DI PANTAI PUTERI DIPERTINGKATKAN
Next post MANUSKRIP ‘ARMADA MALUKU’ TARIKAN EKSKLUSIF PAMERAN ENRIQUE DE MALACA