Sorting by

×

Dulu diejek anak pendatang, kini bergelar graduan cemerlang

Masa Membaca:2 Minit, 57 Saat

MERLIMAU 12 Mac – Graduan Diploma Akauntasi Jabatan Perdagangan Politeknik Melaka, Bella Nur Liza Ali Mahfud mencipta sejarah apabila meraih empat anugerah pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-19 Politeknik Melaka (PMK) di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, hari ini.

Berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur, Bella Nur Liza, 24 bersyukur apabila terpilih untuk merangkul Anugerah Pengarah Politeknik, Anugerah Khas Kepimpinan, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum serta Anugerah Dekan pada sesi pertama istiadat konvokesyen pagi tadi.

Anak sulung dari dua beradik itu berkata, apa yang mencetuskan impian dia untuk mengubah nasib keluarga apabila mengenangkan kesusahan dan kepayahan kedua ibu bapanya untuk memberi pendidikan yang sempurna kepada dia dan adiknya.

Ujarnya, kedua ibu bapanya merupakan pemegang kad Permastautin Tetap (MyPR) di negara ini dan hanya bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja am rendah sebagai tukang cuci di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia juga pernah menjadi mangsa buli dengan ejekan anak pendatang ketika di sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah ke institusi pengajian tinggi (IPT), namun itu semua adalah motivasi baginya untuk pergi lebih tinggi.

“Kedua ibu bapa saya berasal dari Surabaya, kita dari keluarga yang susah namun mereka bercita-cita tinggi untuk lihat saya berjaya, ayah selalu cakap kalau saya pandai cakap Bahasa Inggeris itu maknanya saya dah berjaya.

“Saya sering dibuli dan diejek sebagai anak pendatang, tumpang negara orang dan pelbagai lagi cemuhan, namun itu semua adalah pemangkin untuk saya belajar lebih kuat dan dapatkan kerja bagus untuk saya beri kesenangan pada ibu dan ayah kelak.

“Pernah masa sekolah rendah saya tidak ke sekolah kerana tidak mempunyai wang, makan apa yang ada, tapi tak apa biar itu semua menjadi kenangan manis yang saya dan keluarga hadap, ini hadiah saya kepada ibu ayah untuk beri kesenangan kepada mereka yang sudah bersusah payah besarkan saya,” ujarnya menahan sebak.

EXCO Pendidikan, Datuk Rais Yasin (dua kanan) dan Pengarah Politeknik Melaka, Surveyor Razali Johari bergambar bersama Bella Nur Liza (tengah) serta kedua ibu bapanya.

Tambahnya, doa ibu, Indah Susiawati Mujiono, 43, dan ayahnya Ali Mahfud Karsun, 51, tidak pernah putus memberi kekuatan kepadanya sepanjang pengajian.

Ujar Bella Nur Liza yang kini menuntut dalam jurusan Akaun di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dia percaya dengan pendidikan ia dapat mengubah nasib bukan dirinya sahaja tetapi juga keluarga.

“Sebagai anak tukang cuci, dan buruh binaan, saya perlu lekas sedar pendapatan ibu bapa tidaklah sebesar mana,” katanya.

Jelasnya, ketika belajar dan menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PMK, dia juga bekerja separuh masa di kedai makan untuk wang belanja dan pernah tertidur dalam kelas kerana terlalu penat.

“Selain aktif dalam bidang akademik, sumbangan kepada masyarakat melalui penglibatan program aktiviti sukarelawan, kepimpinan, kerohanian dan sosio ekonomi yang dianjurkan pada semua peringkat perlu dititik beratkan,” katanya yang berazam untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Dalam pada itu, Ali Mahfud Karsun berkata dia sebagai ayah berasa bangga apabila nama dan anaknya disebut untuk naik ke podium mendapatkan anugerah.

Menurutnya, sememangnya dia akan melakukan apa sahaja kerja yang halal untuk memberi pendidikan yang cukup buat anaknya dan sentiasa menyokong satu-satunya anak perempuannya itu.

“Bella Nur Liza seorang anak yang tidak pernah meminta-minta dan dia pendiam tidak banyak berbicara di rumah, namun setiap kali mengeluarkan kata, pasti dia akan membuktikan.

“Dia pernah gagal, tapi saya sifatkan anak saya ini seorang yang komited dan berdedikasi serta sentiasa bersungguh-sungguh dalam belajar, jadi saya dan isteri sentiasa menyokong dengan memberi motivasi juga kata-kata semangat untuk Bella Nur Liza mencapai cita-citanya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1754
Kongsi :
Previous post Peratusan keluar mengundi mungkin disebabkan kebimbangan COVID-19 Hasni
Next post PRN Johor: Semua 1,021 pusat mengundi ditutup jam 6 petang tadi
Ubah saiz-+=