Sorting by

×

EKSKAVASI KAPAL PURBA DI PULAU MELAKA MUNGKIN AMBIL MASA LEBIH 2 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 7 November – Proses ekskavasi kapal purba dan artifak di kawasan berhampiran Pulau Melaka dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mohd Muda Bahadin.

Menurut beliau, setakat ini, proses tersebut telah memasuki fasa keempat sebaik ia dimulakan pada 2021 yang lalu.

Jelas beliau, tempoh masa lama diperlukan memandangkan rangka kapal yang ditemui adalah bersaiz besar dan panjang, di mana ia dipercayai mencecah berpuluh-puluh meter.

“Tempoh masa ini bagaimanapun tertakluk pada kajian yang akan dijalankan nanti, di mana kita akan memperincikan bukti-bukti dan kajian saintifik bagi membuktikan penemuan itu supaya ia tidak bercanggah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan ke tapak ekskavasi penyelamatan kapal purba Melaka berhampiran Pulau Melaka, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Mohd Muda memaklumkan, setakat ini, seramai 24 ahli arkeologi daripada Jabatan Warisan Negara dan sukarelawan daripada PERZIM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terlibat dalam proses ekskavasi tersebut.

Beliau berkata, setakat ini, pencarian tertumpu di kawasan seluas 12×12 meter dengan kedalaman tiga meter

Untuk fasa berikutnya, jelas beliau radius kawasan pencarian mungkin akan diperluaskan bagi meneroka lebih banyak kawasan yang dijangka terkandung khazanah sejarah penting negara dan Negeri Melaka itu.

“Buat masa ini, antara tumpuan utama kita adalah penyelamatan bahagian-bahagian kapal, di samping artifak-artifak seperti porselin, tembikar dan syiling-syiling lama.

“Insya-Allah, kita percaya jika dapat sampai ke bahagian-bahagian penting di dalam kapal tersebut, mungkin ada lebih banyak khazanah terkandung di situ dan kita berharap dari situ lebih banyak data dapat kita kongsikan kepada umum,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

852
Kongsi :
Previous post WRUR: KAMPUNG GANGSA BAKAL MILIKI MASJID BAHARU
Next post WRUR: RM82.5 JUTA TAMBAH BAIK INFRASTRUKTUR PENDIDIKAN DURIAN TUNGGAL