(Eksklusif) Ibu ‘lalok’ cuba campak anak dalam longkang

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Akibat dipercayai ‘lalok’ mengambil dadah, seorang wanita tergamak cuba mencampakkan anak perempuannya berusia setahun ke dalam longkang.

Kejadian berlaku di tepi jalan Limbongan, dekat sini, jam 8 malam semalam.

Tindakan wanita itu bagaimanapun dihalang sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) yang bergegas ke lokasi selepas dihubungi orang awam memaklumkan kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, setibanya di lokasi kejadian wanita berkenaan cuba mengugut anggota untuk mencampakkan kanak-kanak terbabit ke dalam longkang berkenaan sekiranya didekati.

MOHD SUKRI ketika ditemui Melaka Hari Ini di pejabatnya, di sini hari ini.

“Bagaimanapun, selepas dipujuk wanita berkenaan dan anak keduanya berjaya diselamatkan dan dibawa ke Balai Polis Melaka Tengah untuk siasatan lanjut.

“Kanak-kanak berkenaan dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan manakala ibunya ditahan semula pada jam 1 pagi tadi untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati suspek baharu dua hari keluar dari lokap atas kesalahan dadah dan membawa anaknya keluar berjalan-jalan.

“Siasatan turut mendapati ketika kejadian, suspek berada bawah pengaruh dadah berikutan hasil saringan air kencingnya dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan rekod mendapati suspek baharu dua hari keluar dari penjara.

“Jadi saya ingin tegaskan kejadian ini tidak ada kena-mengena akibat COVID-19, sebaliknya saya mengesahkan ia disebabkan suspek di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek sudah bercerai dan mangsa bersama abang lelakinya berusia lima tahun dijaga ibu suspek di Taman Limbongan ketika suspek ditahan dalam lokap.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1192
Kongsi :
Previous post Sindiket judi bola sepak Euro 2020 tumpas
Next post Mayat lelaki dalam rumah berkunci
Ubah saiz-+=