Sorting by

×

EMPAT FOKUS JADIKAN MELAKA NEGERI PINTAR BERPACUKAN DATA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 11 November – Kerajaan Negeri menggariskan empat fokus utama sebagai teras kepada usaha menjadikan negeri ini perintis dalam transformasi data sektor awam di Malaysia.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, fokus itu ialah memperkukuh budaya berpacukan data, di mana setiap jabatan dan agensi perlu menjadikan data sebagai asas kepada pembuatan dasar, perancangan serta pelaksanaan perkhidmatan awam.

“Selain itu, perkongsian data rentas agensi turut dipertingkat dengan memperluas integrasi data antara Kerajaan Negeri dan persekutuan bagi mewujudkan ekosistem data yang lebih telus, seragam dan boleh dipercayai.

“Seterusnya pembangunan bakat data negeri yang menekankan keupayaan melahirkan kumpulan bakat analitik merangkumi pakar teknikal, pencerita data, penganalisis dasar dan jurubahasa data.

“Pada masa sama, aspek data untuk rakyat menjadi komponen penting agar inisiatif data kerajaan tidak hanya terhenti pada peringkat pentadbiran tetapi dapat dikongsi dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Konvensyen Data Raya Negeri Melaka 2025 bertemakan ‘Data Raya Pemangkin Transformasi Digital Negeri’ di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof. Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Menurut Dairul Nizam, penubuhan Melaka Data Intelligence Centre (MDIC) sebagai pusat penyelarasan dan analitik data Kerajaan Negeri serta pelaksanaan Sistem Umum dan Analitik Rakyat (SUARA) bagi pengumpulan data awam secara sistematik menjadi pemangkin kepada agenda negeri berpacukan data.

“MDIC bukan hanya mengumpul data, tetapi membina hab kecerdasan data yang mampu menterjemah analitik kepada tindakan dan polisi berimpak tinggi.

“Saya percaya dengan kesungguhan ditunjukkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Institut Tun Perak (ITP), Melaka mampu menjadi negeri contoh dalam pelaksanaan transformasi data sektor awam di Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post TANAMAN NANAS DI MELAKA MENINGKAT 143 PERATUS, TERTINGGI DALAM NEGARA
Next post KLUSTER INDUSTRI WILAYAH TENGAH PEMANGKIN PERKEMBANGAN EKONOMI MELAKA