Empat lagi kematian akibat COVID-19 direkodkan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 30 Mei – Melaka merekodkan empat kematian hari ini membabitkan pesakit dari daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Berdasarkan kenyataan di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), empat kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negeri ini setakat hari ini sebanyak 63 kes.

Jelas kenyataan itu, dua kes kematian yang direkodkan hari ini membabitkan kes di kawasan Batu Berendam dan Bukit Rambai bagi daerah Melaka Tengah manakala dua lagi membabitkan kes kematian di kawasan Sungai Baru Tengah dan Durian Tunggal, Alor Gajah.

“Kes pertama membabitkan lelaki berusia 58 tahun di Mukim Bukit Rambai yang mempunyai penyakit darah tinggi dan buah pinggang tahap empat dan dikesan positif menerusi saringan kontak rapat anaknya.

“Bagi kes kedua, membabitkan kematian seorang wanita berusia 69 tahun di Sungai Baru Tengah mempunyai penyakit darah tinggi, gout dan gastritis yang dikesan daripada saringan bergejala.

“Kes kematian ketiga membabitkan wanita berusia 83 tahun di Durian Tunggal yang mempunyai penyakit darah tinggi dan dikesan positif melalui saringan kontak rapat iaitu cucunya.

“Kematian yang keempat membabitkan lelaki berusia 71 tahun dari Batu Berendam yang tidak mempunyai sebarang penyakit, namun bergejala termasuk demam, selesema dan sesak nafas,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan kes positif hari merekodkan penurunan iaitu sebanyak 198 kes berbanding 340 kes semalam.

Kata kenyataan itu, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes yang masih dirawat setakat ini seramai 2,255 kes.

“Daripada jumlah itu 55 pesakit termasuk 11 yang memerlukan bantuan alat pernafasan masih rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

872
Kongsi :
Previous post Varian kacukan di Vietnam belum dikesan di Malaysia
Next post P Ramlee: The Getaran of the Modern Malay Hikayat Lives on
Ubah saiz-+=