Empat ‘pusher’ berdepan tali gantung, miliki ganja lebih sekilogram

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Feb – Tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan dipercayai pengedar dadah berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan bersama dadah jenis ganja seberat lebih satu kilogram, Jumaat lalu.

Kesemua mereka ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan di sebuah kondominium mewah di tepi Sungai Melaka, di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah digerakkan dalam operasi terbabit dan menahan kesemua suspek pada jam 10 malam.

Katanya, mereka yang ditahan ialah dua lelaki warganegara Pakistan, satu lelaki warga India dan wanita tempatan, berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun.

“Dalam serbuan itu polis berjaya merampas satu beg plastik mengandungi lapan ketulan mampat ganja seberat 1.064 kilogram (kg).

“Turut dirampas dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Kia Spectra serta wang tunai bernilai RM2,390.00 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya dalam satu kenyataan.

GANJA seberat 1.064 kilogram yang dirampas.

Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas dipercayai boleh dibekalkan kepada 1,500 pengguna serta mampu memperoleh keuntungan bernilai RM53,000.

“Hasil siasatan turut mendapati kesemua suspek disyaki mengedar barang terlarang tersebut di sekitar Bandaraya Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua suspek tinggal serumah di kondominium terbabit dan salah seorang lelaki warga Pakistan merupakan kekasih kepada wanita warga tempatan itu.

Tambahnya, siasatan turut mendapati wanita warga tempatan dan kedua-dua lelaki warga Pakistan bekerja sebagai jurujual dan pemasang pendingin hawa di sebuah syarikat swasta, manakala lelaki warga India tidak bekerja.

“Kesemua warga asing yang ditahan sudah tinggal di Malaysia selama dua hingga lima tahun dan berstatus bujang.

“Hasil semakan, kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan awal adalah negatif,” katanya.

Kesemua suspek telah ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.

Keempat-empat suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 18 Feb depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1600
Kongsi :
Previous post Melancong tanpa gelembung pelancongan perlukan penelitian – Nancy
Next post 21,315 kes baharu COVID-19 hari ini
Ubah saiz-+=