Sorting by

×

Empat tahun tunggu, rumah tak siap-siap…

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER LIMAU 17 Jan – Pembeli rumah Taman Seri Aman Lagenda, di sini merayu kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan masalah rumah yang tidak disiapkan pemaju.

Wakil pembeli, Intan Nurfarhana Kamarolzaman, 32, mendakwa beliau dan 53 lagi pembeli sudah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju pada 2017 dan rumah dijanjikan disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Namun, ujarnya, sehingga sekarang projek itu gagal disiapkan dan mereka tidak sanggup lagi menanggung bebanan membayar balik pinjaman institusi kewangan.

“Kami menunggu dengan penuh harapan untuk menghuni rumah selepas dua tahun projek itu dimulakan pada 2017 tetapi malangnya hingga saat ini, ia terbiar begitu sahaja,” katanya ketika ditemui di tapak projek berkenaan hari ini.

Dia berkata, usaha sedang dilakukan untuk mengumpulkan semua pembeli rumah dan meminta mereka menghubunginya dengan menelefon 019-6171242.

INTAN Nurfarhana Kamarolzaman, 32. Foto Din Ahmad

Seorang lagi pembeli, Wan Suria Wan Ibrahim, 40, mendakwa, pihak pemaju tidak pernah menghubungi mereka, apatah lagi berunding mencari penyelesaian terbaik masalah berkenaan.

“Apabila saya mencari alamat syarikat itu melalui internet, alamat yang ada dalam dokumen perjanjian berbeza dengan alamat yang ada dalam internet.

“Puas kami menghubungi syarikat itu tetapi gagal dan kami amat kecewa kerana hingga saat ini rumah itu belum mampu disiapkan sedangkan kami terpaksa menanggung hutang pembayaran balik pinjaman perumahan,” katanya.

Safwan Sulaiman, 28, pula berkata, dia membuat pinjaman untuk membeli seunit rumah bernilai RM203,000 dengan harapan mampu menikmati kehidupan lebih selesa dalam rumah yang yang lebih luas, namun berakhir dengan kehampaan.

“Alhamdulillah Allah beri saya rezeki untuk membayar pinjaman perumahan semasa PKP dan saya tidak dapat bayangkan apa akan jadi kalau saya kehilangan pekerjaan dan terpaksa membayar pinjaman perumahan sedangkan rumah tidak siap,” katanya.

Sementara itu, EXCO Perumahan negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kerajaan negeri akan meneliti masalah berkenaan dan meminta pembeli terbabit supaya bersabar sementara menunggu kaedah penyelesaian diusahakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1446
Kongsi :
Previous post 40 peratus populasi dewasa negara sudah terima dos penggalak
Next post RM680 juta untuk seragam harga barang, subsidi tepung – Nanta
Ubah saiz-+=