ESSCom tumpas 41 puak dalam Kumpulan Abu Sayyaf terlibat militan, penculikan sejak 2013

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

LAHAD DATU, 8 Dis – Sebanyak 41 puak dalam Kumpulan Abu Sayyaf yang terbabit dengan penculikan untuk wang tebusan serta kumpulan militan di Sabah, ditumpaskan sejak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) ditubuhkan pada tahun 2013, kata Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman.

Beliau berkata kejayaan itu adalah susulan tindakan pantas pasukan perisikan ESSCom, hasil pertukaran maklumat risikan (intelligence exchange) dengan Joint Task Force Sulu serta pasukan tentera Western Mindanao Command (Westmincom).

Katanya dua daripada puak berkenaan yakni Clan Hatib Munap Binda serta Clan Jemaah Group Pimpinan Ustaz Mamay Aburi, ditumpaskan di Sabah, semasa beliau menjadi Komander ESSCom, manakala bakinya di tumpaskan di Filipina.

Menurutnya selain itu tiga operasi khas ESSCom bersama pihak berkuasa Filipina turut dapat meneutralkan sembilan sasaran utama untuk aktiviti Abu Sayyaf serta penculikan bagi mendapatkan wang tebusan di ESSZone, sekali gus mengekalkan sifar penculikan.

“Sepanjang saya menerajui ESSCom, tiada penculikan berlaku dan ini semua kerana kerjasama semua elemen dalam ESSCom serta perisikan dengan pihak keselamatan Filipina serta Indonesia,” kata Ahmad Fuad yang akan bersara pada 11 Dis ini, kepada pemberita selepas perbarisan perpisahan sempena persaraannya di sini hari ini.

Sementara itu Ahmad Fuad berkata ESSCom turut merancang beberapa perkara bagi memperkasakan keselamatan di ESSZone antaranya cadangan untuk menempatkan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan penempatan ramai, sebagai pondok polis kecil untuk tugas-tugas kepolisian serta menjadi ‘first responder’.

“Selain itu ESSCom turut mencadangkan pewujudan Forward Operation Base Pasukan Gerakan Udara (PGU) di Tawau bagi menempatkan aset dan penyelenggaraan bagi jangka panjang,” katanya.

Beliau yang bertugas selama 36 tahun di Sabah turut mengingatkan agar semua anggota pasukan keselamatan di ESSZone tekad mengelak diri dari terlibat sindiket atau menjadi tali barut kepada sindiket jenayah rentas sempadan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

946
Kongsi :
Previous post Kit ujian air liur sahaja bagi saringan ujian COVID-19 di sekolah KPM
Next post Warga emas maut dipukul dengan batang cangkul
Ubah saiz-+=