Fahmi Reza didakwa lagi

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Pereka grafik dan aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi media sosial.

Mohd Fahmi Reza, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya berhubung isu pengharaman penjualan minuman keras di negara ini, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui laman Facebook miliknya menggunakan profil “Fahmi Reza” pada 11.45 pagi, 1 Jun 2021.

Hantaran itu kemudian dibaca di sebuah unit Pangsapuri Melur, Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul di sini, pada 9 pagi, 2 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000, namun peguam Rajsurian Pillai, yang mewakili Mohd Fahmi Reza memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

“OKS juga tidak ada potensi untuk melarikan diri dan mengganggu saksi. Sebelum ini (10 Feb) anak guam saya juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen dan mahkamah membenarkan jaminan RM5,000, jadi kami pohon jaminan antara RM4,000 hingga RM5,000,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan OKS diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Feb lepas, Mohd Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan sama membabitkan isu kuarantin terhadap menteri pulang dari lawatan rasmi di luar negara, tahun lepas.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

858
Kongsi :
Previous post Gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi dilanjutkan sehingga sempadan negara dibuka
Next post Akta baharu larang aktiviti merokok akan diperkenalkan – Khairy
Ubah saiz-+=