
FESTIVAL D’BENDANG HIDUPKAN ‘VIBE’ DULU-DULU
SUNGAI RAMBAI 21 Disember – Penyertaan lebih 100 usahawan desa dan peniaga tempatan serta pengisian 42 acara sukan rakyat, memeriahkan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’Bendang Negeri Melaka 2025 yang berlangsung di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, karnival yang memasuki edisi ketiga penganjurannya itu berlangsung selama tiga hari bermula 19 Disember lalu.
“Karnival ini bukan sekadar hiburan, tetapi usaha menghidupkan semula nostalgia, menghubungkan generasi dan mengembalikan kenangan manis zaman ‘dulu-dulu’, merentas usia dan latar belakang.
“Selain acara sukan, karnival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan, termasuk gerai makanan tradisional, jualan produk usahawan tempatan, persembahan pentas, Program Pemerkasaan Wanita, Ceramah Agama, serta Penyampaian Sumbangan Bantuan Persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’Bendang Negeri Melaka 2025 di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW, Datuk Abdul Kohar Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abd Azis, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurut Ketua Menteri, penganjuran tahun ini tampil dengan kelainan yang lebih menarik apabila memperkenalkan acara sukan moden seperti kayak dan Muay Thai sebagai usaha menarik minat golongan belia agar terus bersama terlibat dalam program komuniti seumpama ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


