Final menentang JDT tugas getir sepanjang karier saya – Hodak

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Ketua Jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC Bojan Hodak menyifatkan aksi final Piala Malaysia 2021 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah tugas paling getir sepanjang kariernya dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Pengendali berasal dari Crotia itu berkata ia disebabkan skuad kendaliannya hanya mempunyai dua pemain kebangsaan — Kenny Pallraj dan Muhammad Akram Mahinan , tidak seperti ketika beliau membimbing pasukan Kelantan menjuarai final pada 2012 dan membawa JDT ke pentas final edisi 2014.

Namun, Hodak, 50, berkata semangat kekeluargaan yang tinggi dalam kalangan pemain KL City FC menjadi antara kunci kejayaan pasukan menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kempen Piala Malaysia hingga dinobatkan sebagai juara dengan menumpaskan JDT 2-0 malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

“Sebenarnya kami ada dua pemain kebangsaan tetapi ini adalah pasukan yang bekerja keras dan daripada semua pasukan yang saya bimbing dalam kerjaya saya, kami (KL City FC) mempunyai suasana bilik persalinan yang hebat.

Saya tidak memilikinya dalam mana-mana kelab sebelum ini, apabila anda ada suasana seperti ini anda tahu anda boleh melakukan sesuatu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

KL City FC mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian 32 tahun peminat Kuala Lumpur untuk melihat pasukan itu kembali menjulang Piala Malaysia dan menafikan skuad Harimau Selatan daripada mempertahankan gelaran juara yang diraih pada 2019.

Pemain tengah Zhafri Yahya dan kapten pasukan Paulo Josue masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-66 dan ke-74 untuk mencipta malam gemilang buat skuad Warga Kota.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora menyifatkan keputusan malam ini sukar diterima selepas pasukan bimbingannya menyasarkan untuk mempertahankan kejuaraan diraih pada 2019.

Namun, beliau mempertahankan taktikal permainan digunakannya selain memuji sikap anak buahnya yang tidak menyerah kalah dan tetap berusaha mencari gol hingga ke penghujung perlawanan.

“Kami tidak berpuas hati dengan keputusan ini, kami datang untuk menang dan menjuarai Piala Malaysia tetapi kami ketinggalan, kami tidak jumpa jalan, ruang yang tepat untuk membina strategi permainan.

Kami tahu gaya permainan kami ialah untuk mencipta, cuba mewujudkan peluang, mencari jalan dan adalah lebih sukar untuk bertahan sahaja, tetapi KL melaksanakan tugas mereka dengan baik, mereka bertahan tidak melakukan tekanan hanya menanti di padang kami cuba merapatkan jurang dan mereka melakukannya dengan baik,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

679
Kongsi :
Previous post Piala Malaysia: KL City tamatkan penantian 32 tahun, tewaskan JDT
Next post Kerajaan iktiraf 29 Mei sebagai Hari Wartawan Nasional – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=