FITNAH MANGSA INSIDEN BALAI ULU TIRAM: TUKANG CUCI DIPENJARA TUJUH HARI, DENDA RM800
Majistret Anis Zainab Pawan Teh menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Abd Qayyum Wan Mohd Radzuan, 25, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu serta menetapkan hukuman penjara tujuh hari, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Lelaki itu didakwa melakukan fitnah terhadap Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar (terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram), yang kemudian komen itu dibaca oleh pengadu Azhar Khaiden, 55, iaitu bapa kepada anggota polis itu, di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Klah, Sungkai pada 2 petang, 28 Ogos lepas.
Wan Abd Qayyum didakwa menyiarkan komen kepada kakak mangsa Nur Azza Assyaoiren Azhar, 29, melalui Facebook Wan Qayyum dengan maksud hendak merosakkan nama baik arwah dan menyinggung perasaan Azhar.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Azhar yang dipanggil bagi memberikan pernyataan saksi berkata perbuatan tertuduh menggambarkan seolah-olah arwah anaknya menerima rasuah dan patut meninggal dunia.
“Jadi ia satu penghinaan terhadap arwah anak saya, kami sekeluarga rasa tersinggung dan sedih dengan kenyataan itu yang dilempar dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira perasaan keluarga yang mengalami detik peristiwa ini,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Nabila Norzam memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana tindakan tertuduh memberi impak negatif kepada keluarga Ahmad Azza Fahmi, selain berhati-hati semasa menggunakan media sosial.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Amani Williams-Hunt yang mewakili tertuduh kemudian meminta hukuman ringan kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor dengan gaji RM1,500 dan masih menanggung ibunya.
Dalam kejadian pada 17 Mei lepas, dua anggota Balai Polis Ulu Tiram terkorban akibat ditembak serta ditetak dalam serangan dilakukan seorang lelaki berusia 21 tahun yang turut maut dalam serangan berkenaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.