Gadis terima lebih 15 jahitan, rahang pecah diserang anjing

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KRUBONG 27 Nov – Mulut dan dagu terpaksa dijahit dengan lebih 15 jahitan manakala rahang pecah dan perlu dibedah segera.

Begitulah nasib malang yang menimpa seorang gadis, Nur Shuhada Abdul Halim, 21, dari Taman Krubong Jaya, selepas diserang secara tiba-tiba oleh seekor anjing yang dibiarkan berkeliaran oleh pemiliknya di kawasan Perindustrian Krubong.

Serangan anjing tersebut yang didakwa diberi nama Rocky pada Khamis lalu itu menyebabkan Nur Shuhada terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya bersendirian, ke atas permukaan jalan raya.

Anjing berkenaan didakwa keluar secara tiba-tiba dari semak berdekatan premis bangunan pemiliknya dan selepas menyerang Nur Shuhada, anjing tersebut dikatakan menyalak di hadapan pagar bangunan pemiliknya sebelum lari bersembunyi.

Rakan kerja Nur Shuhada yang kebetulan melalui laluan yang sama dan menyaksikan kejadian tersebut segera membantu Nur Shuhada yang sedang berlumuran darah serta membawa mangsa ke Hospital Alor Gajah dan menaiki ambulan ke Hospital Melaka kemudiannya.

Kakak mangsa, Nur Syaqira, 22, mendakwa insiden yang menimpa adiknya itu bukan pertama kali berlaku malah pernah menimpa rakan sekerja Nur Shuhada beberapa bulan lalu.

Dakwanya lagi, kelakuan agresif anjing tersebut memang sudah diketahui oleh penduduk di situ malah gelaran Rocky bagi anjing tersebut sudah sinonim dalam kalangan mereka.

“Adik (Nur Shuhada) ada jumpa pemilik anjing yang bersebelahan kilang tempat dia bekerja, minta supaya kurung anjingnya itu kerana telah menyerang rakan sekerjanya namun pemilik enggan berbuat demikian.

“Pemilik masih membiarkan anjingnya itu berkeliaran walaupun sudah beberapa kali orang awam datang mengadu mereka diserang anjingnya itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

ANJING dipanggil Rocky oleh pemilik bangunan kilang di kawasan Industri Krubong didakwa menyerang Nur Shuhada Khamis lalu.

Katanya, akibat kejadian itu, Nur Shuhada tidak mampu bertutur dan makan dengan sempurna, serta kini menunggu rawatan pembedahan bagi membetulkan keadaan rahangnya yang cedera.

“Alhamdulilah, pihak hospital banyak membantu dan memberi kata-kata semangat kepada adik bahawa kecederaan yang dialaminya mampu pulih seperti sebelumnya cuma mengambil masa sedikit untuk sembuh,” ujarnya.

Susulan insiden itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak dan melaporkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi membolehkan tindakan susulan sewajarnya diambil.

Menurut Nursyaqira, keluarganya dalam rancangan untuk memfailkan saman terhadap pemilik anjing berkenaan kerana bersikap cuai melepaskan haiwan peliharaanya berkeliaran sehingga mendatangkan kecederaan kepada orang awam selain memastikan insiden sama tidak menimpa orang lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1063
Kongsi :
Previous post MOT gesa syarikat penerbangan turunkan harga tambang
Next post Tambah baik program Pengalaman Homestay, galak komuniti luar bandar jadi pengusaha inap desa
Ubah saiz-+=