Gangguan seksual: Kertas siasatan babitkan ADUN dilengkapkan minggu ini

Masa Membaca:58 Saat

JOHOR BAHRU, 19 Jan – Siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita ahli sebuah parti politik, akan dilengkapkan minggu ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata setakat ini, beberapa individu termasuk ADUN serta wanita berkenaan sudah dipanggil bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan itu.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah kami panggil untuk merakam percakapan berhubung kes ini.

“Kami masih lagi menyiasat, insya-Allah siasatan dilakukan secara adil dan mungkin memerlukan masa dua tiga hari untuk diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.

Sebelum ini, tular mengenai gangguan seksual seorang mangsa dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, yang mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.

Bagaimanapun, ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

577
Kongsi :
Previous post Hakim nasihat Syed Saddiq berhati-hati keluar kenyataan di media sosial mengenai kesnya
Next post ‘Terima kasih pengusaha tomyam bantu mangsa banjir’ – KM
Ubah saiz-+=