Sorting by

×

Ganja seberat 9kg dicampak ke laut selepas bot dikejar APMM

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ALOR SETAR, 10 Mei – Sebuah bot dari negara jiran yang dipercayai cuba membawa masuk ganja ke dalam negara, bertindak mencampakkan bahan terlarang seberat sembilan kilogram (kg) itu kedalam laut sebelum melarikan diri, selepas menyedari kehadiran bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli dekat Langkawi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata kejadian pada kira-kira pukul 10.25 malam itu bermula apabila Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi berjaya mengesan sebuah bot fiber dari sempadan Thailand yang cuba masuk kedalam perairan negara.

Katanya bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Aman seterusnya digerakkan ke lokasi bagi memintas bot itu untuk pemeriksaan, dan sebaik sahaja kehadiran bot peronda disedari, suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut sebelum menukar haluan untuk berpatah balik ke arah sempadan Thailand.

“Hasil pemeriksaan, bungkusan guni yang dibuang itu didapati mengandungi sembilan ketulan ganja mampat yang diletakkan dalam plastik berwarna emas seberat sembilan kilogram, dan ia dianggarkan bernilai RM45,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua ganja yang di rampas dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 39B (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Romli seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan, atau kecemasa di laut, supaya menghubungi Maritim Negeri Kedah dan Perlis dengan menelefon 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1638
Kongsi :
Previous post Harap adik ditemui segera, tidak tahan melihat emosi ibu ayah
Next post Remaja lembam lemas ketika mandi di Sungai Kombat
Ubah saiz-+=