Gazet kawasan sawah, lindungi pembangunan sekuriti makanan
MERLIMAU 27 September – Kawasan sawah di negeri ini bakal digazetkan sebagai lokasi pembangunan sekuriti makanan kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Dr. Muhamad Akmal berkata, cadangan itu bertujuan mengelakkan aktiviti tebus guna tanah bagi membina kediaman hingga mengganggu pembangunan sekuriti makanan seperti padi di Negeri Melaka.
Jelasnya, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dan mendalam pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang.
“Keluasan sawah padi Negeri Melaka adalah 1,300 hektar dan semakin kurang, ramai yang menebus guna tanah untuk buat rumah. Saya melihat kawasan sawah padi ini perlu digazetkan supaya tidak mengganggu pembangunan sekuriti makanan.
“Perkara ini perlu perbincangan lanjut jadi saya akan bawa ke dalam MMKN,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Penuaian Padi Projek Penyelidikan Pakej Agronomi Varieti MR297 di kawasan tadahan hujan di Kampung Sempang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Penyelidikan Padi dan Beras MARDI, Dr. Mohd Syaifudin Abdul Rahman serta Pengarah MARDI negeri, Nik Adli Nik Muhammad.
Jelasnya, Melaka bukanlah negeri pengeluar beras, namun mampu menyalurkan sembilan peratus daripada keseluruhan permintaan tempatan.
“Baki 91 peratus lagi permintaan beras kita terpaksa import dari luar untuk penuhi permintaan di Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.