Gembleng tenaga lahir modal insan kelas pertama – KM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 10 Mac – Semua pihak diminta bersama-sama menggembleng tenaga dalam melahirkan modal insan minda kelas pertama terutamanya daripada golongan pelajar Bumiputera, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, kerjasama antara institusi keluarga dan sekolah perlu diperkukuh serta diperkasakan bagi mencapai usaha berkenaan yang juga sebahagian daripada aspirasi negara.

“Pesan saya, laksanakanlah tugas dan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan guru dengan sehabis baik, memandangkan kita pada waktu ini berada dalam arus permodenan zaman berteknologi tinggi yang semakin hari semakin mencabar.

“Maka, pendedahan dan peluang pendidikan perlu seiring dengan sahsiah diri pelajar untuk pembangunan pendidikan anak Melaka, khususnya sebagai agenda utama dalam mencorakkan masa depan negeri yang tercinta ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Program Bantuan Khas Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) 2024 di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pendidikan dilaksanakan YPM kerana ia memberi seribu makna khusus kepada murid dan pelajar kurang berkemampuan.

“Bidang pendidikan merupakan asas utama kemajuan mobiliti sosial. Oleh itu, marilah kita sedaya upaya menyahut seruan kerajaan dengan menyediakan pelbagai peluang pendidikan yang berkualiti kepada anak bangsa sama ada di bandar mahupun luar bandar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Kongsi :
Previous post Hargai usaha MARA, YPM perkasa bidang pendidikan
Next post Sudah empat tahun beg sekolah tidak berganti
Ubah saiz-+=