Graduan seni bina landskap kini jadi ikon usahawan kek Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BUKIT KATIL 7 Oktober – Berjinak-jinak dalam bidang bakeri dan pembuatan kek ternyata membawa manfaat besar buat seorang usahawan muda sehingga mampu mengembangkan perniagaan biarpun itu bukanlah bidang yang dipelajarinya ketika melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kecekalan yang diharungi graduan Diploma Seni Bina Landskap, Hazwan Najib Mullah Mohd, 34 nyata berbaloi apabila kini bergelar Pengurus Kedai Cakes Valley yang bertapak di Lesung Batu, Alor Gajah.

Katanya, minat itu bermula sejak keinginannya mencuba-cuba mempelajari pembuatan kek secara sendirian di rumah sejak 2014 akhirnya membuahkan hasil apabila menerima pelbagai tempahan termasuk daripada beberapa syarikat katering yang memerlukan tempahan pada musim perkahwinan.

Menurutnya, perniagaan kecil-kecilan di rumah itu membuahkan hasil apabila selepas mengikuti beberapa kursus yang dijalankan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri sehinggakan akhirnya dia mampu membuka kedai sendiri sejak 2019.

“Pelbagai kursus telah saya ikuti di KEMAS dan telah banyak membantu saya mencari jalan untuk mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat sekarang, KEMAS sebelum ini banyak menawarkan pelbagai kursus kepada usahawan muda seperti saya antaranya kursus ‘quick win’, pengurusan kewangan, pemasaran, sosial media serta pelbagai lagi sejak 2019.

“Selepas tahun itu saya telah berjaya membuka kedai baharu selepas mengubah model perniagaan saya kerana terkesan akibat pandemik COVID-19 yang menghalang pergerakan sekali gus membatasi perniagaan saya.

“Ketika itu banyak acara perkahwinan dibatalkan memberi kesan kepada tempahan dan perniagaan, jadi saya ubah konsep perniagaan dengan menjual kek-kek potong, mini kek dan pelbagai lagi menggunakan kaedah secara dalam talian dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran rumah ke rumah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Hazwan telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Usahawan KEMAS 2022 dalam bidang makanan dan minuman dan telah menerima pengiktirafan agensi itu pada Program Wacana Ilmu-Wanita Inspirasiku (WINS) Peringkat KEMAS Negeri Melaka 2022 diadakan di Rumah Melaka, di sini, semalam.

Sijil penghargaan dan replika cek telah disampaikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman disaksikan Pengarah KEMAS negeri, Rozkhaidi Othman serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4768
Kongsi :
Previous post Artifak asli kemerdekaan negara kini di Melaka
Next post Hospital Melaka cari waris Ridzuan
Ubah saiz-+=