
GTP: CERMINAN KOMITMEN MELAKA SEBAGAI HAB INDUSTRI BERTEKNOLOGI TINGGI
BEMBAN 6 Februari – Galeri Jualan German Technology Park (GTP) disifatkan sebagai cerminan kepada komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran dan kemudahan yang membantu pelabur untuk bertapak, sekali gus mengembangkan perniagaan mereka di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perasmian Galeri Jualan GTP adalah satu titik penting dalam perjalanan Melaka untuk menjadi hab peneraju bagi sektor perindustrian berteknologi tinggi.
Katanya, GTP adalah antara pemangkin perkembangan ekonomi Melaka, sehubungan itu bagi mengekalkan momentum berkenaan aspek seperti platform yang berkualiti, fasiliti bertaraf dunia, pentadbiran yang kukuh dan ekosistem perniagaan yang komprehensif disediakan.
“Berkeluasan 169.4 hektar GTP adalah kawasan perindustrian di Melaka yang diurus secara profesional, direka untuk menggabungkan perancangan strategik dalam sistem operasi dan menyokong keperluan pelabur.
“GTP juga akan menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan industri melibatkan bidang automasi, elektrik dan elektronik, perubatan, teknologi hijau, komponen aeroangkasa serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT),” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Jualan GTP di Tapak GTP Bemban Daerah Jasin di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zalina Zainol; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, perancangan GTP juga dilakukan secara teliti agar menepati garis panduan dan piawaian sama seperti kemudahan yang ada di Jerman.
Menurutnya, sehubungan itu sebagai agensi bertanggungjawab, Perbadanan Melaka (MCORP) melaksanakan kajian, penilaian dan pelan komprehentif melibatkan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Trafik (TIA) dan Kajian Tanah (SIA).
“Semua aspek ini diambil kira untuk menjamin persekitaran yang mampan, bertangggungjawab dan sedia dibangunkan pada masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


