Hadiah kereta, artis terkenal jadi tarikan bazar Aidilfitri Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Mac – Pelbagai cara digunakan penganjur bazar Aidilfitri dalam menarik kehadiran pengunjung.

Ada yang menawarkan hadiah menarik kepada pengunjung bertuah, malah ada juga yang menghias keseluruhan bazar dengan warna-warni lampu dan dekorasi menarik.

Di Melaka, kemeriahan itu juga dapat dirasai dengan penganjur bazar Aidilfitri mega menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung dalam menghidupkan suasana menjelang Syawal.

Sebagai contoh, Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) Jalan Hang Tuah, di sini, yang menawarkan haduah sebuah kereta Proton Persona 1.6L cvt bernilai hampir RM50,000 bagi pengunjung yang berbelanja serendah RM30.

Penganjur Melgrab, Muhammad Fikri Mohd Ali berkata, selain hadiah utama sebuah kereta, pengunjung juga turut berpeluang untuk memenangi sebuah motosikal Yamaha Ego Avantiz bernilai hampir RM10,000 serta empat hadiah misteri yang lain jika berbelanja RM10 di outlet Hang Boba, Jalan Hang Tuah.

Menurutnya, pihaknya mengekalkan tradisi dengan menawarkan hadiah kereta sebagai cabutan bertuah bagi tahun kedua penganjuran bazar ini dengan keseluruhan hadiah yang bernilai RM80,000.

“Ini adalah usaha kita untuk mengalakkan lebih ramai pengunjung membeli-belah serta memeriahkan bazar Aidilfitri di sini tahun ini.

“Tahun lepas kami bersusah-payah untuk menghidupkan semula Bazar Aidilfitri di sini yang ditutup sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun sebelum ini.

“Namun tahun ini Melgrab dijangka mampu menarik hampir 1.5 juta pengunjung hadir di sini dengan pelbagai hadiah menarik dan aktiviti sepanjang sebulan bazar berlangsung.

“Bagi menarik kehadiran pengunjung, kami turut mendatangkan khas Ratu Rock negara, Ella untuk membuat persembahan pada majlis perasmian selain kemunculan Hazama dan Nabila Razali,” katanya ketika ditemui di bazar tersebut malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Fikri berkata, selain hiburan, pihaknya juga akan membawakan program keagamaan dengan mendatangkan khas juara dunia Qasidah dari Yaman serta pengisian enam slot program kerohanian.

Selain itu, pihaknya turut mengadakan kutipan dana bagi membantu tiga madrasah terpilih iaitu Pertubuhan Kebajikan Al Muhibin, Madrasah Syeikhul Ariffien dan Madrasah Ustaz Hatta Abd. Rahim.

“Kita turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti program bubur lambuk yang diedarkan secara percuma, badut, busking, persembahan bunga api dan sebagainya,” katanya yang memaklumkan sebanyak 155 khemah sudah menjalankan perniagaan sejak 1 Ramadan lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9178
Kongsi :
Previous post JKM Melaka pantau aktiviti mengemis, minta sedekah di pasar Ramadan
Next post Ramadan bawa sinar rezeki buat nelayan Pengkalan Balak
Ubah saiz-+=