Harap MINDEF segerakan kelulusan pembinaan menara telekomunikasi – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

LENDU 12 Feb – Kerajaan negeri masih menunggu maklum balas Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung inisiatif membina menara pencawang telekomunikasi yang akan memberi manfaat kepada penghuni di Kem 96 Depot Pangkalan Peluru (DPP) Masjid Tanah dan penduduk sekitar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya berharap maklum balas berhubung kelulusan perkara itu disegerakan MINDEF

Katanya, setakat ini kerajaan negeri hanya menerima surat maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung perkara itu.

“Kita sudah terima surat daripada MCMC cuma nak tunggu kelulusan MINDEF malah kita berniat untuk bantu dengan cepat kerana capaian internet di kawasan itu sangat teruk.

“Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada pegawai memerintah kem, malah kita juga sudah cakap (maklumkan) pada Setiausaha Sulit Menteri.

“Nak pasang menara itu sekejap saja namun apa pun ia perlu kelulusan daripada MINDEF,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ziarah Kasih Sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Kampung Baru Lendu, di sini, hari ini.

Pembinaan menara pencawang telekomunikasi menjadi antara manifesto Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Lendu, jika Barisan Nasional (BN) berjaya menawan DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), November lalu.

Katanya, masalah itu memberi kesan kepada pelajar sekolah yang mengikuti Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sebelum ini.

“Akibat daripada perintah kawalan pergerakan (PKP), semua aktiviti terhenti sehinggakan sekolah juga terhenti, jadi anak-anak mereka kalau belajar di rumah melalui dalam talian, mereka memerlukan capaian internet yang bagus.

“Ada di kalangan isteri tentera ini berkhidmat sebagai guru, jadi waktu malam bila dia nak hantar laporan, mereka terpaksa datang ke Masjid Tanah, terpaksa mencari tempat yang ada liputan sekali gus menyukarkan mereka, apatah lagi dalam tempoh PKP,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1053
Kongsi :
Previous post PRN Johor: PAS nafi tak puas hati pembahagian kerusi
Next post Mana-mana vaksin penggalak lebih baik daripada tiada – Khairy
Ubah saiz-+=