Harga ayam dijangka lepasi RM10 satu kilogram Julai ini

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KLEBANG 17 Jun – Harga baharu ayam segar dijangka melepasi paras RM10 satu kilogram (kg) selepas tamat skim harga maksimum yang bertujuan memberi situasi ‘menang-menang’ kepada penternak dan juga pengguna.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak (FLFAM) Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee berkata, situasi itu dijangka berlaku berikutan penternak terpaksa menanggung kenaikkan kos hampir RM2 bagi satu kg ayam dan menjadikan harga kos operasi naik kira-kira RM7 bermula Julai ini.

PENASIHAT Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak (FLFAM) Datuk Jeffrey Ng Choon Ngee

Beliau berkata, apabila harga diapungkan kelak ini menyebabkan penternak terpaksa berdepan dengan kenaikkan pelbagai kos.

“Harga RM8.90 kini tertakluk kepada harga ladang RM5.60, jika ini masih kekal semua orang gulung tikar. Malah harga sekarang RM8.90 tidak dapat menampung kos yang perlu ditanggung.

“Subsidi naik RM1.40 kalau kita cakap daripada segi ladang tiada subsisi lagi mungkin harga ladang adalah RM7. Harga borong dan runcit itu bukan daripada kita tetapi tertakluk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), jika ikut perkiraan mestilah akan naik,” katanya pada sidang media di Batang Tiga, di sini, hari ini.

Berikutan itu pihaknya mencadangkan agar satu perjumpaan diadakan bersama pihak kerajaan bagi mendapatkan persefahaman berhubung penetapan harga baharu ayam segar.

“Persatuan cadangkan kita duduk sekali dengan kerajaan dan buat persefahaman yang tidak jejaskan sesiapapun dalam rantaian bekalan.

“Ini supaya semua orang dapat keuntungan berpatutan, rakyat tidak rugi. Kita minta harga berpatutan bukan rendah sebab akan ada pihak yang terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey Ng turut mengalu-alukan kerjasama antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Angkasa dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan untuk bekerjasama menerajui bidang ternakan ayam bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1232
Kongsi :
Previous post Melaka lulus bantuan bulanan RM600 bantu nenek jaga empat cucu
Next post USM perkenal nombor plat khas
Ubah saiz-+=