Sorting by

×

‘HEBAT’ TEMUI RAKYAT SETIAP 3 BULAN

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 November – Penganjuran program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) akan diadakan setiap tiga bulan bagi menyantuni permasalahan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi HEBAT, rakyat boleh datang secara terus untuk berjumpa barisan Exco dan agensi serta jabatan terlibat bagi menyuarakan apa sahaja isu sama ada masalah tanah, cukai, banjir termasuk berkaitan hal ehwal kebajikan rakyat.

Beliau berkata, program yang berlangsung selama setengah hari itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain menerusi kaunter jabatan dan agensi disediakan.

“Kita akan berterusan mengadakan HEBAT dengan pelaksanaan dalam tempoh tiga bulan sekali, ini supaya denyut nadi rakyat dapat didengari selain masalah boleh diselesaikan.

“Selepas siri kedua pada 13 November ini, siri seterusnya HEBAT akan diadakan pada tahun hadapan, untuk itu saya mempelawa rakyat Melaka untuk hadir kemukakan aduan, atau berkongsi pandangan,” katanya ketika bersiaran langsung dalam segmen ‘Dak Rauf Masuk Konti’ di MelakaFM, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk mendengar suara orang Melaka dan mencari jalan penyelesaian.

“Selain membawa Melaka ke peta dunia dalam bidang pelancongan dan pelaburan, saya juga hendak mendengar masalah rakyat Melaka yang perlu diselesaikan.

“Saya mahu dengar sendiri dan cuba selesaikan dengan cara yang terbaik demi kesejahteraan serta masa depan rakyat Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post WRUR: TITIK MULA LEMBARAN BAHARU DURIAN TUNGGAL
Next post PESARA TERHARU DISANTUNI ‘ORANG BESAR’