IBU SAKSI DUA ANAK MAUT DEPAN MATA
AYER KEROH 24 September – Hasrat dua beradik yang dalam perjalanan menziarahi pusara bapa mereka yang meninggal dunia 10 bulan lalu di Bertam Ulu berakhir tragedi apabila kedua-duanya terbabit kemalangan hingga meragut nyawa.
Dalam kejadian Jalan Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA) menghala Sungai Udang, petang semalam, Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan adiknya Nur Afiqah Sofea, 5, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan parah.
Lebih menyayat hati, ibu mereka Norizan Ujak, 40, yang menunggang motosikal berasingan menyaksikan kemalangan yang meragut nyawa dua anaknya itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal Demak DV110 dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.
Namun, katanya, ketika di lokasi kejadian, penunggang motosikal dikatakan tidak perasan kontena roro yang berada di bahu jalan lalu merempuhnya.
“Akibat rempuhan itu remaja lelaki terbabit dan adiknya mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.
“Namun pada jam 7.40 malam doktor sahkan mangsa meninggal dunia ketika sedang dirawat dan adiknya pula disahkan meninggal pada jam 12.30 tengah malam,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis turut mengesan pemilik roro serta saksi bebas yang melihat kejadian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.