Iman umum bertanding di DUN Machap Jaya

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SEREMBAN 7 Nov – Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) hari ini mengumumkan bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Parti yang mewakili masyarakat India Muslim itu akan mempertaruhkan Ketua Cawangan Iman Machap Jaya yang juga ahli perniagaan, Abdul Aziz Osani Kasim,52.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Presiden Iman, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak dilaporkan berkata, keputusan untuk mengambil bahagian dalam PRN itu dibuat julung kalinya selepas ditubuhkan dua tahun lalu.

Katanya, buat masa ini pihaknya akan mempertaruhkan seorang calon sahaja bagi menguji kekuatan serta populariti parti itu

“Iman ditubuhkan pada 2019, dalam tempoh sehingga kini, kami juga tidak sangka tiba-tiba akan ada pilihan raya, oleh itu kami kena cuba kami punya kekuatan dan populariti.

“Sebagai sebuah parti politik, kita seharusnya mengambil bahagian dalam sesuatu pilihan raya. Bila sudah ada, kami ambil peluang untuk bertanding.

“Buat masa ini kami bertanding satu kerusi, pertama kali kan, jadi, kami cuba dahulu, insya-Allah,” katanya.

Ketika ditanya peluang Iman untuk memnangi kerusi itu, Mohammed Mosin berkata, meskipun menghadapi tiga calon parti yang lebih besar, faktor tempatan memberi kelebihan kepada Abdul Aziz untuk bertanding dalam kerusi itu.

“Abdul Aziz adalah anak tempatan Machap Jaya, dia lebih mengetahui apa masalah yang dihadapi penduduk di situ. Keakraban dia dengan penduduk sekitar juga kami lihat agak rapat.

“Dia baik dengan semua golongan masyarakat jadi saya harap calon yang kami tampilkan ini orang yang tepat untuk mewakili penduduk Machap Jaya dan dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, dia yakin mampu diterima penduduk setempat berikutan hubungannya bersama rakyat di kawasan itu amat baik sekali gus memudahkan aktiviti kempen parti itu.

“Saya anak tempatan, saya duduk di kampung Melayu, di sebelah kampung itu pula kampung Cina, hubungan saya dengan penduduk sekitar juga baik dan mereka mengenali saya, ia memudahkan kempen saya nanti,” katanya.

Iman sebelum ini dikenali sebagai Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PBIM) dan ditubuhkan pada 2019 bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim sebelum PBIM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Iman pada September lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1163
Kongsi :
Previous post MySejahtera mohon maaf kesilapan teknikal
Next post Pasukan pemantau bersepadu ditempatkan di Pusat Penamaan Calon PRN Melaka
Ubah saiz-+=