Industri media negara kehilangan tokoh wartawan disegani

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman yang meninggal dunia hari ini merupakan tokoh wartawan disegani yang banyak menabur bakti kepada negara sejak menceburi industri media khususnya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Allahyarham, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras di sini 4 petang tadi akibat serangan jantung pada usia 75 tahun, pernah berkhidmat dengan pelbagai organisasi media sejak menceburi bidang itu dalam tahun 1966.

Berkelulusan ijazah Sarjana Muda Komunikasi daripada Universiti Sains Malaysia dan ijazah Sarjana Pengurusan daripada Institut Pengurusan Asia di Filipina, beliau memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan di Radio Televisyen Malaysia pada September 1966 sebelum menyertai Bernama sebagai wartawan kanan pada September 1971.

Di Bernama, antara tahun 1971 hingga 1995, Allahyarham pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Biro Johor, koresponden bagi Thailand dan Indo-China, Ketua Penyunting, Ketua Pengarang Berita, Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Am serta Ketua Pengarang.

Abdul Rahman kemudian bersara pilihan pada April 1995 untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Parit Buntar, Perak dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan dan memenangi kerusi itu.

Semasa penghujung Krisis Kewangan Asia pada 2001, beliau mengetuai Jabatan Komunikasi Krisis, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Allahyarham terus berkhidmat dengan MTEN selepas ia dinamakan semula sebagai Direktorat Pelaksanaan Negara di Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan menyelia dan memantau projek serta program di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Susulan pembubaran direktorat itu, Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Bernama selama enam tahun mulai Febuari 2010 hingga Januari 2016.

Selepas itu, Allahyarham dilantik sebagai Penasihat dan Ketua Pasukan Komunikasi Negara di Pejabat Perdana Menteri.

Allahyarham, yang merupakan bekas pemimpin pelajar semasa di universiti, turut aktif dalam politik dan pertubuhan sukarela serta pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO Parit Buntar selama dua penggal dari 1995 hingga 2001.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) bagi penggal 2017 hingga 2020.

Abdul Rahman meninggalkan seorang isteri iaitu Puan Sri Maznah Adam dan tiga anak. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

872
Kongsi :
Previous post Lapan kluster pendidikan COVID-19 direkodkan di P.Pinang – Exco
Next post Permit institut memandu boleh dibatalkan jika ramai pemegang lesen terlibat kemalangan – JPJ
Ubah saiz-+=