
INFRASTRUKTUR DUN LENDU DINAIK TARAF DEMI RAKYAT
LENDU 31 Mei – Projek menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu sedang giat dijalankan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat di kawasan itu.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu yang berlangsung selama dua minggu (18 hingga 31 Mei) sekali gus membuka ruang kepada rakyat untuk menyuarakan pelbagai isu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan terus kepada rakyat ini membolehkan kerajaan bertindak pantas mengenal pasti dan meluluskan pelbagai projek berskala tempatan yang memberi impak kepada masyarakat.
“Antara projek yang sedang dilaksanakan atau telah siap termasuk menaik taraf lapang sasar dan asrama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai menghargai khidmat anggota ini, projek dijangka bermula pada Ogos 2025 dengan anggaran kos RM1.5 juta.
“Selain itu penambahbaikan landskap di Taman Rekreasi Beringin juga sedang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi mewujudkan kawasan riadah lebih kondusif dengan peruntukan RM450,000
“Manakala, sebanyak RM370,000 turut disalurkan bagi menaik taraf sistem perparitan, tembok panahan dan pam air di Taman Masjid Tanah Ria, kedua-dua projek ini sedang dalam pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian penutup WRUR DUN Lendu di Kompleks Japerun Lendu di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Tambah Ab Rauf bagi kerja membaik pulih sistem perparitan di Taman Bandar Baharu melibatkan kos sebanyak RM300,000 telah pun disiapkan sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Manakala kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan empat prasarana komuniti termasuk balairaya, gelanggang futsal dan sepak takraw yang dijangka siap pada Jun 2025 melibatkan kos berjumlah RM110,000,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.