Sorting by

×

WRUR DUN LENDU : ISU BANJIR SEGERA DITANGANI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

LENDU 31 Mei – Kerajaan Negeri memandang serius isu banjir yang saban tahun menjejaskan kehidupan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, khususnya melibatkan kawasan berisiko tinggi setiap kali musim hujan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, justeru itu pengurusan risiko banjir menjadi antara agenda utama Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu, selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat secara menyeluruh.

“Maka, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi projek pemulihan kolam takungan banjir melibatkan kawasan Solok Duku dan Durian Daun.

“Melalui Program WRUR yang dijalankan ini, projek Rumah Pam Sungai Baru sudah mula dilaksanakan melibatkan kos bernilai RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian penutup WRUR DUN Lendu di Kompleks Japerun Lendu di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata berikutan isu banjir dihadapi hampir 2,000 penduduk, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Melaka mengangkat cadangan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Baru.

“Saya telah memanjangkan perkara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan cadangan ini telah mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan, hasilnya peruntukan khas berjumlah RM450 juta telah diluluskan.

“Alhamdulillah inisiatif ini telah diluluskan melalui peruntukan khas melibatkan projek pelebaran sungai, pengambilan tanah dan pembinaan utiliti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

842
Kongsi :
Previous post INFRASTRUKTUR DUN LENDU DINAIK TARAF DEMI RAKYAT
Next post WRUR DUN LENDU: KEBAJIKAN PENDUDUK JADI KEUTAMAAN