Inisiatif murni Pemuda Jasin sedia Projek Ambulans Rakyat percuma untuk asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 23 Feb. – Projek Ambulans Rakyat Pemuda Jasin membantu golongan asnaf di dalam Parlimen Jasin bagi mendapatkan perkhidmatan ambulans secara percuma.

Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, insiatif itu dilaksanakan rentetan terdapat golongan asnaf di negeri ini yang tidak mempunyai kenderaan untuk membuat pemeriksaan kesihatan di hospital.

“Ambulans percuma ini khusus untuk golongan asnaf dalam Parlimen Jasin. Bagi bukan asnaf juga boleh menggunakan perkhidmatan, namun mereka akan dikenakan bayaran 50 peratus daripada harga pasaran.

“Contohnya, jika dari Merlimau ke Hospital Melaka pergi dan balik kosnya RM150, tetapi kita hanya kenakan bayaran RM75,” katanya ketika dihubungi MHI.

Dr. Muhamad Akmal memeriksa seorang asnaf yang terlantar sakit. Foto kredit Dr Muhamad.

Menurutnya, projek ambulans itu dilaksanakan awal Februari lalu dengan peruntukan lebih RM60,000 bagi penyediaan dua buah ambulans.

“Kita ada dua ambulans iaitu satu ambulans lama yang digunakan dalam Jasin sahaja, manakala ambulans baru untuk pesakit yang ingin membuat rawatan susulan di luar dari kawasan Jasin.

“Setakat hari ini lebih 60 pesakit telah menggunakan perkhidmatan ambulans ini sejak ia dilancarkan, perkhidmatan ini tidak mengira masa sama ada pagi, petang atau malam jika kita berkelapangan,” katanya.

Dr Muhamad Akmal berkata, selain menyediakan perkhidmatan ambulans, beliau turut membuat pemeriksaan kesihatan bagi golongan asnaf yang menghidap penyakit.

Usaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin itu turut mendapat kerjasama Persatuan Bulan Sabit Jasin.

Pada masa sama, pihaknya turut menyasarkan enam buah ambulans akan ditambah sehingga hujung tahun ini untuk ditempatkan di setiap parlimen di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1360
Kongsi :
Previous post Kerajaan disyor gubal peta pembangunan vaksin negara
Next post JKN giat latihan, simulasi menjelang penerimaan vaksin COVID-19 esok
Ubah saiz-+=