Insentif Bijak Sejarah wajar diteruskan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER LIMAU 10 Jun – Insentif Bijak Sejarah yang diperkenalkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh wajar diteruskan pada tahun-tahun mendatang akan sebagai suntikan motivasi untuk generasi muda.

Menerusi inisiatif itu, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang dalam subjek Sejarah akan menerima insentif RM200 daripada Kerajaan Negeri.

Seorang pelajar cemerlang dalam subjek itu, Nafeesah Azzahra Abdul Rahman,18 berkata, insentif itu membantu lebih ramai pelajar sekolah meningkatkan semangat patriotisme dan jati diri menghargai sejarah negara.

Dia yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin berkata, insentif itu sekali gus menyuntik semangat pelajar dalam menghayati dan menghargai pengorbanan pejuang membentuk negara ini pada masa terdahulu.

“Mata pelajaran ini diakui sedikit susah tetapi jika kita pelajari dengan cara yang betul, insya-Allah kita akan memperoleh keputusan cemerlang.

“Sebelum ini ketika peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya hanya mendapat gred kredit sahaja tetapi selepas mengubah cara belajar dan menggunakan modul-modul peperiksaan, alhamdulillah saya meraih A+ pada SPM yang lalu.

“Bagi saya insentif ini perlu diteruskan kerana menjadi pendorong pelajar di luar sana untuk mencintai sejarah dan menjadi insan yang mempunyai jati diri lebih kuat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Nafeesah Azzahra merupakan antara 36 lepasan SPM dalam Parlimen Masjid Tanah yang memperoleh A+ dalam subjek Sejarah dan telah menerima insentif RM200 disampaikan Ketua Menteri pada Karnival Pendidikan dan Kerjaya TVET Peringkat DUN Ayer Limau di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman, Paya Rumput, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, seorang lagi lepasan SPM 2023, Iman Alya Abd Rahman meluahkan rasa syukur kerana menjadi antara pelajar yang memperoleh A+ dalam subjek berkenaan di negeri ini.

“Jika insentif ini diteruskan ia mampu melahirkan lebih ramai pencinta sejarah dan pelajar yang akan meneruskan pengajian dalam bidang ini.

“Perkara ini secara tidak langsung mampu membentuk generasi muda yang celik sejarah dan lebih menghargai negara pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post Keperibadian Hamzah, peninggalan berharga untuk keluarga
Next post Ikut peraturan niaga, elak kena sita – MPJ
Ubah saiz-+=