Insentif khas RM1,000 untuk anak Melaka sambung pengajian diteruskan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LINGGI 1 Disember – Pemberian insentif khas untuk anak kelahiran Melaka yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Negeri akan diteruskan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pemberian itu diteruskan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Melaka menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.

Katanya, insentif itu melibatkan kemasukan ke Universiti Melaka (UNIMEL) dan Kolej Antarabangsa Sains Dan Teknologi Melaka (MiCoST).

“Seperti kebiasaan, anak Melaka yang masuk ke UNIMEL atau MiCoST akan kita berikan RM1,000 dan ini akan kita teruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

“Seperti UNIMEL, kelayakan yang diperlukan hanyalah tiga kredit sahaja dan diharap lebih ramai pelajar merebut peluang yang disediakan Kerajaan Negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo, Lagu Rasmi dan Penyerahan Peranti Siswa Universiti Melaka di UNIMEL Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah dan Naib Canselor UNIMEL Prof. Dr. Abdul Razak Ibrahim.

Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMEL berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 rakyat Melaka menyambung pengajian pada setiap tahun.

Katanya, perkara itu mampu dicapai dengan penjenamaan baharu dan usaha berterusan yang dijalankan universiti berkenaan.

“Insya-Allah, selepas ini kita dalam usaha menggabungkan MiCoST ke dalam UNIMEL bagi menarik lebih ramai pelajar menyambung pengajian di sini,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3005
Kongsi :
Previous post Semangat baharu UNIMEL
Next post Bekas MB Perlis meninggal dunia
Ubah saiz-+=