IPPT dijadikan Pusat Perubatan USM untuk rawatan pelbagai kanser

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

KEPALA BATAS, 28 Mac – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM), di sini akan dinaik taraf sebagai Pusat Perubatan USM menjelang Jun depan dengan mampu menawarkan rawatan untuk pelbagai penyakit kanser kepada orang ramai.

Naib Canselor USM Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata ditubuhkan sejak dua dekad, IPPT yang merupakan satu daripada pusat kecemerlangan di bawah USM kini semakin mengorak langkah menjadi lebih maju dan berdaya saing.

“Kerja-kerja menaik taraf IPPT kepada Pusat Perubatan USM dimulakam dengan penukaran papan tanda supaya orang ramai tahu IPPT bukan sahaja untuk program akademik sebaliknya turut menawarkan rawatan kanser malah memiliki fasiliti canggih radioterapi dan brakiterapi untuk merawat pesakit (kanser).

“Saya fikir dalam tempoh satu atau dua tahun lagi terutama jika USM terima peruntukan daripada RMK (Rancangan Malaysia ke-12) dan sebagainya, menjelang 2024 atau 2025 kita boleh tawarkan (Pusat Perubatan USM) dengan perkhidmatan yang lebih besar serta lengkap bagi merawat pelbagai penyakit kanser,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa Brachyacademy IPPT USM di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini terdapat 40 katil di bahagian forensik IPPT dengan kebanyakan pesakit yang dihantar ke institut perubatan itu dirujuk dari hospital lain manakala USM merancang membangunkan lagi 24 hektar tanah untuk Pusat Perubatan USM yang dilengkapi pusat pengajian bagi melatih lebih ramai pelajar serta doktor.

Terdahulu, Faisal Rafiq menerima akreditasi Pusat Latihan dan Penyelidikan Brachytheraphy daripada Pengurus Pemasaran Klinikal Brachytheraphy Solutions Wilayah Asia Pasifik Ulrich Krumme.

Beliau berkata walaupun IPPT telah beroperasi sejak 2002, perkhidmatan onkologi dan radioterapi di situ hanya bermula pada 2015 manakala perkhidmatan brakiterapi iaitu prosedur memasukkan bahan radioaktif ke dalam tubuh untuk merawat kanser dimulakan dua tahun selepas itu.

Menurutnya bagi brakiterapi, dua rawatan permulaan yang diberikan ialah kanser pangkal rahim pada 2015 dan kanser lidah atau Hybrid Brachyteraphy followed by Intensity Modulated Radioteraphy (HyBIRT) pada 2016.

“Sejak itu pelbagai kanser seperti prostat, hati dan esofagus juga telah dirawat dengan teknik brakiterapi dan sehingga kini, IPPT merupakan satu-satunya pusat perubatan aktif di Asean yang menawarkan teknik tersebut untuk kanser hati serta kanser kepala dan leher.

“Kecemerlangan IPPT dalam bidang brakiterapi telah mendapat perhatian badan profesional brakiterapi yang berpangkalan di Belanda iaitu BrachyAcademy dan kita menerima akreditasi berprestij itu hari ini, sehingga kini IPPT merupakan satu-satunya institusi di Malaysia menerima akreditasi tersebut,” katanya.

Katanya setakat ini juga, hampir 1,000 pesakit dari seluruh negara termasuk Indonesia dan Australia telah dirujuk ke IPPT untuk sesi perundingan manakala 578 pesakit telah menjalani prosedur brakiterapi di sini.

Menurutnya selain menawarkan perkhidmatan brakiterapi, onkologi dan radioterapi, IPPT turut menawarkan beberapa perkhidmatan lain menerusi kewujudan Pusat Penyelidikan Termaju, Pusat Penyelidikan Haiwan, Klinik Kesihatan Oral serta Pusat Rehabilitasi dan Perkhidmatan Klinikal.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1802
Kongsi :
Previous post Aktiviti pencerobohan sudah diambil tindakan
Next post Johor benar masjid, surau rapatkan sejadah solat berjemaah mulai Jumaat
Ubah saiz-+=