Ismail Sabri adakan lawatan ke Qatar, UAE bermula 27 hingga 31 Mac
PUTRAJAYA, 26 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Ahad hingga 31 Mac.
Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), sempena lawatan itu Perdana Menteri turut akan mengadakan pertemuan dengan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
“Agenda utama yang akan dibincangkan termasuk pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Qatar yang sedia terjalin dalam pelbagai bidang kerjasama,” menurut kenyataan kementerian pada Sabtu.
Kedua-dua pemimpin dijangka menetapkan hala tuju kerjasama ekonomi dan usaha pemulihan pasca-pandemik serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa yang penting.
Perdana Menteri juga akan membuat sesi libat urus dengan komuniti perniagaan dan Keluarga Malaysia di Doha.
Sementara itu, dalam kunjungannya ke UAE, Ismail Sabri akan mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
“Kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh mengenai kerjasama dalam pelbagai aspek antara kedua-dua negara, termasuk menangani pandemik COVID-19 dan usaha pemulihan pasca-pandemik,” menurut Wisma Putra.
Di samping itu kedua-dua pemimpin turut akan bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa.
Perdana Menteri juga dijadual melawat Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai serta bertemu komuniti perniagaan dan Keluarga Malaysia di Dubai.
Beliau akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.
Kedua-dua lawatan itu tertakluk kepada prosedur operasi standard bagi pencegahan COVID-19 yang ketat, ditetapkan Malaysia, Qatar dan UAE.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.