Istana Melaka belum terima surat

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BUKIT BERUANG 4 Okt. – Istana Melaka masih belum menerima sebarang surat dari ahli politik yang menolak pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, setakat ini.

Setiausaha Khas Yang di-Pertua Negeri, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, setakat ini tiada ahli politik yang hadir ke Istana Melaka untuk menghantar surat kepadanya sejak pagi tadi.

Katanya, bagaimanapun sebarang pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam memerlukan surat permohonan janji temu dan keputusan hanya bergantung kepada Tun Mohd Ali.

“Apa pun keputusan kita serah pada Tun Mohd Ali untuk melakukan sebarang pertemuan, malah dalam tempoh ini beliau sedang dikuarantin sejak Khamis lalu.

“Setakat pagi tadi kita hanya menerima surat dari kerajaan negeri dan tidak mengetahui apa isi kandungnya dan ia akan disampaikan terus kepada Mohd Ali,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tinjauan MHI di luar pekarangan Istana Melaka tenang dan tiada pergerakan kenderaan keluar masuk di hadapan pintu utama setakat jam 2.30 petang tadi.

Terdahulu, difahamkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kepada Pejabat Ketua Menteri pagi tadi.

Empat ADUN itu adalah mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Idris Haron (ADUN Sungai Udang), ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1673
Kongsi :
Previous post Adly, Idris mahu jumpa TYT bincang usaha pastikan kestabilan dan kesinambungan pentadbiran
Next post DOS penggalak: Kerajaan disyor laksana kaedah guna vaksin berbeza dos asal – Khairy
Ubah saiz-+=