Isu banjir dan jaringan jalan raya perkara pertama akan diselesaikan BN

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MASJID TANAH 13 Nov – Penyelesaian isu banjir dan sistem jaringan jalan raya Melaka merupakan perkara pertama yang akan dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Menteri yang juga merupakan calon BN Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin berikutan telah ada pelan perancangan bagi mengatasi isu berkenaan.

Katanya, sekiranya diberi mandat pihaknya akan meneruskan dan memastikan pelan strategik mengatasi banjir yang dirangka sebelum ini menjadi perkara utama untuk diselesaikan.

“Yang pertama isu banjir di negeri Melaka. Ini saya mesti selesaikan dulu. Kedua, isu perhubungan, ‘connection’ daripada satu tempat ke satu tempat.

“Saya tak mahu lagi Jumaat, Sabtu dan Ahad kita menghadapi kesesakan lalu lintas. ‘Very heavy traffic’. Sistem jaringan jalan raya ini saya nak memperkasakan (termasuk) juga sistem pengangkutan awam di Melaka,” katanya selepas ditemui Melaka Hari Ini di Taman Bandar Baru Masjid Tanah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, penambahbaikan sistem jaringan jalan raya antara daerah ke daerah lain akan terus diperkasakan terutama jalan utama yang menghubungkan dari Melaka Tengah menuju ke Masjid Tanah perlu terus dihubungkan ke Port Dickson.

Ujarnya, dengan penambahbaikan terhadap sistem jaringan jalan raya ia sekali gus akan membawa kesan kepada pembangunan setempat.

“Sekarang kita tengok, kita ada AMJ (Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin), SPA (Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput- Ayer Keroh). That one okay dah pada saya.

“Tetapi daripada sana ke Masjid Tanah, perhubungan antara daerah ke daerah. Bila kita tengok dah ada lebuhraya AMJ serta pembangunan kiri dan kanan, daripada situ (mungkin) highway itu ke Masjid Tanah dan terus ke Port Dickson.

“Jadi ini yang saya nak buat dan akhirnya kiri kanan tu akan ada pembangunan,(harga) tanah naik dan sebagainya malah orang mudah nak bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

“Bukan hanya di Masjid Tanah, tetapi keseluruhan mengenai kesesakan lalu lintas ini seluruh negeri melaka, saya sudah rancang dan jumpa Menteri Kerja Rayau untuk perancangan bersama dengan pihak JKR,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

528
Kongsi :
Previous post Pertembungan BN, PN lambang pembaharuan politik negara – Annuar
Next post Tidak mustahil calon Bebas jadi ‘king maker’-Norhizam
Ubah saiz-+=