Sorting by

×

Isu tular tanah runtuh: Pegawai kanan kerajaan antara tujuh individu beri keterangan – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Seorang pegawai kanan kerajaan antara tujuh pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung video tular semasa kejadian tanah runtuh di kawasan Taman Bukit Permai 2, Ampang, pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak dalam kenyataan hari ini berkata pegawai kehormat APM berusia 38 tahun itu selesai memberi keterangan bersama individu yang menularkan video berkenaan semalam.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anggota sukarelawan APM itu menularkan video berkenaan dan kemudiannya ditahan selepas memberi keterangan kerana positif dadah jenis methamphetamine serta memiliki aplikasi perjudian dalam talian di telefon bimbit miliknya.

“Suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan manakala pegawai berkenaan dibenar pulang selepas keterangannya direkodkan polis. Lima lelaki yang juga anggota APM yang berada di lokasi kejadian turut hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini untuk siasatan,” katanya.

Sebelum ini Bernama melaporkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap penularan sebuah video di Facebook mengenai seorang pegawai APM memasuki kawasan tanah runtuh berkenaan, dikatakan tanpa kebenaran.

Dalam video berdurasi selama 55 saat yang tular sejak semalam itu, pegawai APM berkenaan dilihat mempersoalkan tindakan Mohamad Farouk yang tidak membenarkan pasukan APM memasuki kawasan bencana berkenaan.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, kira-kira 6 petang pada Khamis lepas itu telah meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

887
Kongsi :
Previous post ATM harap peruntukan tambahan susulan pembukaan sempadan
Next post Isteri Nik Muhammad Zawawi meninggal dunia
Ubah saiz-+=