JAIM benarkan jemaah solat Jumaat lebih 250 orang

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat
PETUGAS ibadah korban dihadkan hanya 10 orang untuk penyembelihan lembu dan empat orang untuk kambing. Foto Din Ahmad.

BUKIT KATIL 2 Julai – Jemaah solat Jumaat di negeri ini dibenarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melebihi 250 orang mulai 3 Julai ini , berbanding peraturan sebelum ini yang mengehadkan jumlah maksimum sedemikian.

Bagaimanapun, jemaah tetap disyaratkan supaya menjaga jarak sosial satu meter dengan jumlah maksimum jemaah adalah 40 peratus daripada kapasiti sebenar sesebuah masjid.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat mengingatkan jemaah, walaupun bilangan jemaah adalah 40 peratus daripada kapasiti berkenaan, ia tetap tertakluk kepada kesediaan dan kemampuan ahli jawatankuasa (AJK) masjid untuk mengendalikan kehadiran jemaah.

Beliau berkata, jemaah dibenarkan solat di luar bangunan masjid dengan syarat tidak mengganggu lalu lintas dan tanah orang, tetapi jika hujan dan tiada khemah disediakan di luar masjid, jemaah yang di halaman masjid tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid kerana ia menyebabkan kesesakan dalam masjid.

“Selain itu, kelas pengajian al-Quran, gotong-royong dan korban haiwan ternakan untuk Aidiladha dibenarkan diadakan,” katanya hari ini.

Sementara itu, Jabatan Mufti Melaka dalam kenyataannya semalam berkata, aktiviti korban boleh dilakukan di masjid, surau, kawasan awam dan persendirian dengan syarat ia mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, selain sudah dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

Penyembelihan juga jelasnya, boleh dilakukan di Rumah Sembelihan (Abatoir) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Jasin dan Kompleks Abatoir Alor Gajah.

Penyembelihan juga dibenarkan dibuat di Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan di Bukit Tembakau, Umbai dan Sungai Putat, Batu Berendam di sini.

Bilangan petugas yang dibenarkan hadir ketika penyembelihan lembu dan kerbau hanyalah 10 orang, manakala untuk kambing hanya empat orang bagi memastikan jarak sosial sentiasa dipatuhi, selain mengelakkan kehadiran terlalu ramai orang di tempat penyembelihan.

Petugas harus dipastikan sihat, tiada gejala wabak Covid-19, bukan penghidap penyakit kronik, bukan kanak-kanak bawah 12 tahun dan bukan orang sedang dalam siasatan (PUI) serta bukan orang sedang dalam pengawasan (PUS) berkaitan wabak berkenaan.

Views:

390
Kongsi :
Previous post Selesema babi: Tiada risiko jangkiti manusia – DVS
Next post UTeM bangunkan Reruai Saringan Covid-19 di Hospital Melaka
Ubah saiz-+=